X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

Malaysia mahu kekal sebagai pengeluar utama sarung tangan getah

Mohd Redzuan (tengah) bersama tetamu jemputan dan wakil syarikat memotong riben sebagai gimik pembukaan rasmi fasiliti sistemasi pembuatan sarung tangan di AT Glove Engineering Sdn Bhd, Chemor, Ipoh pada Selasa.
A
A

IPOH - Kerajaan akan terus memberi bantuan kepada sektor industri kesihatan khususnya pembuatan sarung tangan getah bagi memastikan Malaysia kekal sebagai pengeksport terbesar di dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Malaysia kini merupakan sumber utama sarung tangan perubatan di dunia dengan menguasai sebanyak 65 peratus pasaran.

Malah, katanya, pada Oktober tahun lalu, jumlah eksport barangan Malaysia meningkat sehingga RM91.1 billion dengan sarung tangan getah merupakan penyumbang utama menerusi peningkatan eksport sekitar RM2.9 bilion atau 183.8 peratus.

"Sebagai kerajaan, mana-mana industri strategik jika perlu, kita akan bantu memudah cara mereka. Kita menggalakkan mereka mengeksport lebih banyak lagi untuk melestarikan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam membekalkan sarung tangan bagi industri kesihatan.

"Kita mengharapkan agar industri ini terus memacu ekonomi negara, memberikan pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengurangkan kebergantungan pekerja asing serta berkongsi kemakmuran dengan semua," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pembukaan rasmi fasiliti sistemasi pembuatan sarung tangan di AT Glove Engineering Sdn Bhd, Chemor di sini pada Selasa.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, eksport sarung tangan getah menyumbang kira-kira 51.1 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara pada Oktober lalu berbanding sebanyak 49.1 peratus pada bulan sama tahun sebelumnya berikutan penularan Covid-19.

Menurutnya, biarpun vaksin Covid-19 sudah ditemui dan mula diberikan kepada penduduk dunia, ia tidak akan menjejaskan permintaan terhadap keperluan sarung tangan getah.

'Kehidupan dalam norma baharu menjadikan sarung tangan getah antara keperluan kerana semua orang mahu memastikan kebersihan mereka pada tahap terbaik.

"Oleh itu. kerajaan akan membuka lebih banyak ruang untuk sektor tersebut terus berkembang, sekali gus memastikan Malaysia kekal sebagai pembekal utama dunia bagi sarung tangan getah ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!