‘Persidangan Parlimen perlu diadakan dalam waktu terdekat’

Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat daripada Pakatan Harapan (PH) pada Selasa.
Kenyataan yang dikeluarkan Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat daripada Pakatan Harapan (PH) pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat daripada Pakatan Harapan (PH) meminta supaya persidangan Parlimen diadakan dalam masa terdekat walaupun pengisytiharan darurat masih berkuat kuasa.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam kenyataan bersama itu, ahli jawatankuasa terbabit berkata, persidangan tersebut boleh diadakan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Persidangan Parlimen sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah-langkah untuk membendung Covid-19 dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen selain memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat oleh pihak eksekutif.

“Keputusan untuk mengembalikan persidangan Parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur asing bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Sementara itu, ahli jawatankuasa berkenaan berkata, pihaknya akan menyampaikan pandangan tersebut secara konsisten pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

“Kami berharap ia akan dipersetujui oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebagai pendirian bersama jawatankuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Artikel Berkaitan: