X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Bekas ketua kewangan syarikat keselamatan didakwa pecah amanah

Osmadi Saiful Bahrin, 34, didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM126,364.25.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas ketua kewangan di sebuah syarikat keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM126,364.25, tahun lepas.

Bagaimanapun, Osmadi Saiful Bahrin, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hasbullah Adam.

Osmadi didakwa sebagai ketua kewangan di Syarikat Auxillary Force Sdn Bhd yang diamanahkan dengan wang RM126,364.25 telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut di syarikat berkenaan di Jalan Sulaiman, Dang Wangi di sini pada 11 Mac sehingga 26 Ogos 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan kes.

Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu dihantar ke Penjara Sungai Buloh selepas dia gagal membayar wang jaminan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin manakala tertuduh diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!