Pengusaha bas sekolah rayu bantuan baiki kenderaan

Nicole (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Seremban di Seremban pada Ahad.
Nicole (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Seremban di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Sekolah Seremban merayu kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi menanggung kos membaiki bas atau van sekolah yang rosak selepas tidak beroperasi hampir setahun akibat pandemik Covid-19.

Pengerusinya, S Silverrajoo berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada ahli persatuan terbabit yang mendakwa tertekan berikutan bas atau van sekolah mereka rosak disebabkan sudah lama terbiar.

Beliau berkata, bantuan daripada kerajaan negeri itu sangat penting bagi meringankan beban pengusaha bas sekolah di negeri ini.

"Ada yang mengadu tayar bas mereka sudah pancit, bateri bas sudah lemah, cukai jalan tamat tempoh dan ada kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik.

"Kita berharap sebelum pembukaan sekolah pada 1 Mac ini, semua van dan bas sekolah dapat beroperasi dengan lancar tanpa sebarang gangguan," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.

S Silverrajoo
S Silverrajoo

Silverrajoo berkata, setakat ini persatuannya kini mempunyai seramai 111 ahli berdaftar.

Beliau bagaimanapun berkata, persatuan ada menerima bantuan daripada kerajaan negeri sebanyak RM150 bagi setiap pengusaha ketika PKP berkuatkuasa sebelum ini dan berharap bantuan sama dapat disalurkan.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang sesi persekolahan ditutup, katanya, mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja lain seperti menjadi pemandu Grab, pemandu teksi, berkebun dan menjaja bagi menampung perbelanjaan harian.

"Sekarang ini kami sedang bersiap sedia untuk pembukaan sesi persekolahan tidak berapa lama lagi. Kita sedang melakukan pembaikan pada bas dan van bagi memastikan perkhidmatan membawa pelajar ke sekolah nanti berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, nasib menimpa pengusaha bas sekolah itu turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan yang menghulurkan bantuan keperluan dapur.

Seramai 15 pengusaha bas sekolah di DUN Bukit Kepayang menerima sumbangan daripada Pejabat ADUN Bukit Kepayang pada Ahad.