Penggodam 'Anonymous Malaysia' mahir IT

 Zainuddin Yaacob
Zainuddin Yaacob
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan penggodam 'Anonymous Malaysia' yang menggodam sistem komputer kerajaan didapati memiliki latar belakang pendidikan teknologi maklumat (IT).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya mendapati majoriti daripada 11 suspek yang ditahan minggu lalu itu mempunyai tahap pendidikan tinggi dalam bidang IT termasuk ijazah sarjana.

"Siasatan masih dijalankan dan kemungkinan tindakan kumpulan itu menggodam adalah mahu menunjukkan kemahiran mereka, menceroboh maklumat selain pengaruh rakan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Menara KPJ di sini pada Isnin.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan baharu dan kesemua suspek yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan penggodam 'Anonymous Malaysia' ditahan

Katanya, orang awam yang mengetahui atau mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh tampil dan salurkan kepada polis.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melaksanakan tujuh serbuan di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor, Pahang selepas melakukan risikan dan intipan sejak seminggu.

Acryl berkata, semua suspek yang diberkas berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun disyaki menjalankan serangan siber terancang terhadap laman web kerajaan dan swasta.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu lalu untuk siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997.

Pada 26 Januari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.

ARTIKEL BERKAITAN: Penggodam Anonymous beri amaran kepada kerajaan Malaysia

Penggodam Anonymous Malaysia dakwa mulakan serangan siber

Ancaman laman web digodam, semua agensi kerajaan diberi notis amaran