Setiap kementerian berperanan laksana Dasar Perpaduan Negara: Halimah

Halimah Mohamed Sadique
Halimah Mohamed Sadique
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiap kementerian berperanan menjayakan pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata, dasar yang berkonsepkan Perpaduan Dalam Kepelbagaian itu dibangunkan bersama setiap kementerian dan menetapkan strategi jangka panjang dalam usaha berterusan untuk memupuk, mengukuh serta memelihara perpaduan rakyat.

“Dasar dan rangka tindakan ini merentasi pelbagai sektor, baik kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) malah kita letakkan peranan untuk setiap kementerian yang ada untuk bersama-sama menjayakannya.

“Sebagai contoh, soal perpaduan dalam pendidikan menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan (KPM); Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pula berperanan menerapkan perpaduan menerusi kebudayaan,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia menerusi RTM1 pada Selasa.

Beliau berkata, persepsi perpaduan merupakan tanggungjawab kementeriannya semata-mata adalah kurang tepat, sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama dan bersatu padu untuk memastikan objektif dasar itu dipenuhi.

Dasar itu menggariskan tiga objektif utama iaitu mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, toleransi, saling menghormati dan bertanggungjawab; serta melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.

Halimah berkata, Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dihasilkan bagi menyokong strategi serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Katanya, penggubalan Dasar Perpaduan Negara juga berlandaskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta selaras dengan dasar utama negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Lima Tahun dan dasar lain.

Artikel Berkaitan:

“Kita dalam persediaan untuk Pelan Tindakan Perpaduan yang akan dilancarkan sedikit masa lagi, pelan ini adalah perincian kepada perkara yang perlu dilakukan dalam rangka tindakan itu,” katanya.

Beliau berkata, Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti dalam Kawasan Rukun Tetangga yang juga antara pengisian dalam rangka tindakan itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad ini. - Bernama