X

Kindly register in order to view this article
!

Pekerja kilang rugi RM5,650 diperdaya scammer

Gambar kecil: Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja kilang kerugian RM5,650 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 22 tahun dari Mentakab itu menerima panggilan daripada individu yang mengaku pegawai LHDN Cyberjaya dan memaklumkan mempunyai tunggakan cukai syarikat mencecah RM38,600 yang perlu dijelaskan segera.

Menurutnya, bagaimanapun mangsa menafikan kerana tidak pernah mendaftar atau memiliki sebarang syarikat.

“Suspek meyakinkan mangsa bahawa ada pihak lain menggunakan nombor kad pengenalannya untuk mendaftarkan syarikat tersebut.

“Mangsa kemudian dirujuk kepada seorang 'pegawai polis' dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang melalui sambungan telefon untuk semakan dan menyelesaikan kes itu,” katanya melalui satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Wazir berkata, mangsa diarah memuat turun aplikasi Bank Negara (BNM) dan mengisi maklumat peribadi, maklumat kad bank dan semua butiran perbankan internet bagi tujuan semakan.

“Mangsa akur apabila berbuat demikian tanpa menyedari dia telah terjerat dalam perangkap ‘scammer’.

“Dia kemudian menyedari telah ditipu selepas menerima mesej daripada pihak bank memaklumkan berhubung dua transaksi pengeluaran wang dari akaun banknya berjumlah RM3,600 dan RM2.020,”katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Mentakab pada Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!