PKS perlu ambil berat sistem keselamatan siber

Amiruddin
Amiruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keselamatan siber dan pemudahan operasi perniagaan teras seharusnya dititikberatkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar kedua-dua bergerak seiring dalam aliran ekonomi digital yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amiruddin Abdul Wahab berkata, PKS perlu melindungi maklumat berharga mereka, terutama daripada serangan digital, dan pada masa sama menguruskan perniagaan.

“Isu keselamatan siber tidak terlalu serius (buat masa ini) dan saya berpendapat walaupun kesedaran dalam kalangan PKS mengenai aspek itu meningkat tetapi ia masih rendah.

“Sudah ada langkah dan tindakan yang diambil namun saya berpandangan ia belum cukup kerana banyak PKS pada dasarnya masih menggunakan teknologi perlindungan yang sudah lapuk malah ada PKS menggunakan perisian cetak rompak,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai Makmal Keselamatan Siber 5G pertama di Asia Tenggara pada Isnin.

Beliau berkata, isu lain yang dihadapi PKS pada era digital yang berkembang pesat kini adalah kurangnya kesedaran dan latihan berkaitan kecekapan keselamatan siber di samping ketiadaan dasar atau garis panduan kukuh dalam organisasi mereka.

PKS juga mungkin kekurangan tumpuan, memperuntukkan sedikit masa dan sumber untuk pelaburan dalam keselamatan siber susulan penekanan mereka lebih kepada perniagaan teras masing-masing, katanya.

Makmal Keselamatan Siber 5G itu merupakan usaha bersama antara CSM, Huawei Technologies Sdn Bhd dan Celcom Axiata Bhd, serta Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber CSM untuk rantau ASEAN.

Makmal ujian tersebut akan menjadi model keselamatan siber menyeluruh, meliputi sejumlah senario dan menawarkan perkhidmatan termasuk penilaian aplikasi mudah alih dan perkakasan.

Artikel Berkaitan:

Ia juga akan menjalankan kes ujian termasuk keselamatan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan keselamatan telekomunikasi, selain meneliti usaha meningkatkan kesediaan tindak balas terhadap serangan siber berkaitan 5G.

Dalam konteks CSM, Amiruddin berkata, pihaknya ditugaskan secara khusus untuk memberikan nasihat dan sokongan kepada pembangunan Makmal Ujian Keselamatan 5G termasuk ruang untuk tapak uji 5G.

“Kami juga akan mewujudkan ujian keselamatan kompeten dan audit bagi penilaian keselamatan 5G, mewujudkan akreditasi makmal ujian bagi pusat ujian 5G, daripada NESAS (mekanisme penilaian keselamatan siber standard) dan kriteria umum, serta menawarkan perkhidmatan penilaian untuk peranti dan infrastruktur 5G.

“Bagi Huawei, ia akan menyediakan dan membekalkan peralatan 5G untuk ekosistem ini. Dari segi pembangunan tapak uji, ia termasuk Rangkaian Akses Radio (RAN) 5G, rangkaian pinggir dan teras,” katanya.

Selain itu, Celcom Axiata akan menyediakan kesambungan rangkaian 5G untuk makmal itu serta memperuntukkan spektrum 5G khusus kepada tapak uji keselamatan siber di samping menyertai projek rintis bagi penilaian keselamatan 5G.

Amiruddin berkata, Makmal Keselamatan Siber 5G itu juga terangkum di bawah teras tiga dan enam Rangka Tindakan Ekonomi Digital mengikut inisiatif MyDIGITAL yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Teras tiga adalah mengenai membina dan mengaktifkan infrastruktur digital. Sebahagian daripadanya merangkumi 5G. Teras enam pula ialah membina persekitaran digital yang dipercayai, selamat dan beretika. Ini mengenai keselamatan.

“Ia adalah gabungan 5G dan keselamatan, di sinilah kita bersama-sama, memainkan peranan sebagai pakar teknikal keselamatan siber negara dalam menyediakan ekosistem 5G yang lebih selamat dan terjamin,” katanya. - Bernama