Gunung Senyum kaya flora, fauna

Auzairuddin di sebalik struktur seperti pintu kota lama yang terdapat di Gunung Senyum, Temerloh.
Auzairuddin di sebalik struktur seperti pintu kota lama yang terdapat di Gunung Senyum, Temerloh.
A
A
A

TEMERLOH - Gunung Senyum menjanjikan pelbagai tarikan tersendiri antaranya lapisan batu seperti pintu kota kerajaan lama selain kepelbagaian flora dan fauna.

Keistimewaan tersebut menyebabkan ia menjadi sebutan buat pendaki yang ingin mencari pengalaman menarik.

Pendaki, Auzairuddin Mohd Jani, 54, berkata, beliau tidak menjangka laluan ke puncak gunung setinggi 486 meter itu menawarkan pelbagai tarikan.

Menurutnya, ia bukan sahaja memberikan cabaran fizikal kepadanya tetapi juga menyajikan pemandangan yang unik dan menarik.

"Sudah banyak gunung yang sudah saya tawan di negara ini tetapi mendaki Gunung Senyum di Temerloh mempunyai keunikan tersendiri yang tidak terdapat di tempat lain.

"Antaranya saya begitu teruja apabila buat pertama kali dapat melihat sendiri batuan berusia jutaan tahun seolah-olah disusun cantik seperti pintu kota sebuah kerajaan lama," katanya ketika menceritakan pengalaman mendaki Gunung Senyum ketika ditemui baru-baru ini.

Auzairuddin berkata, pengalaman mendaki Gunung Senyum itu sebelum ini turut disertai 28 orang pendaki.

Ujarnya,mereka memulakan pendakian kira-kira jam 8.30 pagi dan sampai ke puncak kira-kira jam 11 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun pendakian hanya memakan masa sekitar tiga jam sahaja namun banyak khazanah alam ditemui seperti cempaka hutan, anggerik hutan, jejarum dan pelbagai jenis kulat beraneka warna yang tidak ada di tempat lain.

"Selain itu kami berpeluang melihat pelbagai jenis serangga dan sejenis cacing yang hidup berkumpulan di celah batu yang tidak terdapat di kawasan lain," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu pengunjung juga dapat meneroka keunikan 25 gua batu kapur yang unik seperti Gua Terang Bulan, Gua Kelam, Gua Jebak Puyuh, Gua Tapa dan Gua Ular.

"Keunikan yang ada di Gunung Senyum memang tidak dapat digambarkan kecuali kita merasa sendiri dengan mendaki gunung ini.

"Pengalaman yang menarik pasti akan dilalui setiap pendaki dan pastinya kita akan lebih memahami berkaitan flora dan fauna," katanya lagi.