Kalau Abah, Pak Ngah pun ambil vaksin, kenapa tidak anda?

Pengambilan vaksin perlu bagi mewujudkan imuniti kelompok.
Pengambilan vaksin perlu bagi mewujudkan imuniti kelompok.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan awam menegaskan tiada alasan untuk orang ramai tidak mendapatkan suntikan vaksin memadangkan kerajaan begitu serius dalam menangani pandemik Covid-19 di Malaysia.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, perkara itu terbukti apabila Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digelar Abah Malaysia serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah (Pak Ngah) sendiri merupakan antara barisan hadapan akan menjadi penerima pertama vaksin Covid-19 negara esok.

Maka menurutnya, rakyat tidak perlu takut dan ragu-ragu memandangkan setakat ini berjuta-juta vaksin jenis Pfizer telah digunakan di seluruh dunia dan ia terbukti selamat.

“Kesan sampingan yang menyebabkan sakit dan bengkak di tempat suntikan bukanlah kesan yang luar biasa dan hanya disebabkan oleh tindak balas badan kita terhadap vaksin. Malah ia menunjukkan bahawa sistem imun dalam badan individu itu berfungsi dengan baik.

“Ada juga pihak yang sengaja menyebarkan isu yang tidak tepat dengan kesan anafilaksis (kesan alergi yang berat) serta dihebohkan di media sosial.

"Ini mungkin disebabkan ada pihak yang menerima suntikan itu mempunyai sejarah alahan atau alergi yang serius, maka berlaku tindak balas kepada individu terbabit,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Poster Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan
Poster Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Beliau menambah, melalui kajian pihaknya, kadar kesan alergi ini adalah sangat rendah iaitu 4.6 kes bagi setiap sejuta dos.

Artikel Berkaitan:

Nurul Azmawati menambah, melalui kajian yang dilakukan pihaknya juga, sejak Disember 2019, hanya 25 peratus respondan yang tidak yakin mahu menerima apa-apa jenis vaksin dan kira-kira 10 peratus tidak bersetuju untuk divaksin.

Di samping itu, tegasnya kerajaan perlu terus memberikan penerangan yang jelas tentang vaksin itu memandangkan ramai yang masih sangsi.

“Ramai yang masih tidak mengetahui bahawa sesetengah vaksin menggunakan bahan genetik sebagai bahan aktif dan vaksinasi boleh menyumbang kepada imuniti kelompok," jelasnya.

Justeru itu, pakar-pakar daripada universiti tempatan, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta organisasi swasta perlu berganding bahu bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyebarkan maklumat yang sahih dan benar mengenai vaksin ini agar pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi bertambah baik, seterusnya meningkatkan penerimaan vaksin Covid-19.

Esok, Muhyiddin dan Dr Noor Hisham akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19.

Setakat ini, seramai 571,802 orang, yang terdiri daripada 'frontliners' sektor kesihatan dan sektor-sektor lain dijangka menerima suntikan vaksin Covid-19.