X

Kindly register in order to view this article
!

‘Takut’ kepada kuasa golongan perasuah

Budaya ‘takut’ kepada pengaruh dan kuasa golongan perasuah menjadikan aktiviti rasuah semakin bermaharajalela di negara ini. Gambar kecil: Mohd Nor
A
A

SHAH ALAM - Budaya ‘takut’ kepada pengaruh dan kuasa golongan perasuah menjadikan aktiviti rasuah semakin bermaharajalela di negara ini.

Pendakwah, Profesor Madya Ts Dr Mohd Nor Mamat berkata, kebiasaannya ia dilakukan oleh mereka yang berpengaruh dan mempunyai kuasa dalam membuat sesuatu keputusan sehingga memberi arahan yang cenderung kepada aktiviti rasuah dengan berselindung di sebalik terma dan istilah positif bagi mengelabui perbuatan keji itu.

“Amalan keji ini turut didukung oleh mereka yang mendapat keuntungan malah ada segelintirnya dalam kalangan pihak berautoriti yang sepatutnya mengawal aktiviti rasuah ini.

“Mereka berdiam diri demi kelangsungan jawatan dan kedudukan dengan alasan bertoleransi ataupun berdiplomasi. Malah lebih menakutkan apabila menggunakan alasan berdiam diri sebagai tindakan berhemah.

“Rasuah berskala makro ini tidak perlu berlaku banyak kali tetapi hanya beberapa kali sudah cukup untuk meruntuhkan negara secara tidak langsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, katanya, beliau tidak melihat amalan rasuah berlaku disebabkan kemiskinan sebaliknya kerana transaksi ini lebih mudah berlaku dalam kalangan penguasa yang berjawatan dan berpendapatan tinggi.

“Penggunaan istilah yang suci menghalalkan perbuatan sebegini sehingga tidak lagi terasa seperti satu kesalahan malah menjadi satu keperluan baik di rumah, di sekolah, di universiti mahupun di mana-mana,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Mohd Nor menyokong usaha Sinar Harian melaksanakan kempen Sinar Rasuah Busters sebagai langkah memerangi rasuah di negara ini.

“Inisiatif Rasuah Busters adalah sangat tepat dan signifikan dalam mengatur kembali budaya masyarakat yang sebenar.

“Selain ia memerlukan masa untuk menyedarkan, mendidik dan membudayakan dengan amalan yang betul, figura yang luhur dan tulus dalam usaha sebegini turut berdepan dengan ancaman pengaruh dan kuasa yang mendominasi amalan rasuah ini,” kata beliau.

Menurutnya, kempen #RasuahBusters adalah satu gerakan yang sangat berani dan murni dalam melahirkan masyarakat bebas rasuah.

“Usaha membuka mata masyarakat tentang realiti rasuah, memperbetulkan budaya dan silap faham serta membina keberanian dalam jiwa masyarakat untuk sentiasa teguh menentang amalan rasuah adalah satu usaha yang suci dan berani demi negara tercinta,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!