Sugar baby ‘manis’ yang tragis

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

TIDAK dapat dibayangkan bagaimana sesetengah wanita dan mahasiswi sanggup menggadaikan maruah dengan menjadi sugar baby kepada sugar daddy, demi kelangsungan atau kemewahan hidup.

Dakwaan Sugarbook, sebuah laman web dan aplikasi temu janji bahawa seramai 14,433 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia telah mendaftar sebagai sugar baby dengan lonjakan lebih 40 peratus pendaftaran baharu, amat mengejutkan.

Laman web temu janji SeekingArrangement pula mendakwa bahawa Malaysia berada di kedudukan ketiga di Asia dengan pembabitan 42,500 sugar daddy.

Gejala sugar ini bukanlah perkara baru, namun seiring dengan perkembangan teknologi melalui laman web dan aplikasi, ia semakin mendapat sambutan yang ketara mutakhir ini lebih-lebih lagi pada musim pandemik.

Antara faktor utama wanita-wanita ini sanggup menjadi sugar baby adalah kerana mereka kesempitan wang untuk hidup atau membayar yuran pengajian yang mahal.

Walaupun sudah berkerjaya, ada juga antara mereka terikut-ikut gaya hidup mewah lalu mengambil jalan mudah dengan menjadi sugar baby.

Mereka juga diberi segala kemewahan demi memuaskan nafsu sugar daddy yang kaya.

Kalau hendak mencari salah, memang mudah, tetapi adakah akan selesai masalah?

Artikel Berkaitan:

Sebagai masyarakat yang prihatin, sewajarnya kita lebihkan mencari solusi daripada mencipta sensasi.

Selain daripada sekatan laman web dan aplikasi temu janji oleh pihak berkuasa, penulis terfikir, apakah yang menyebabkan mereka kesempitan wang sehingga sanggup menjadi sugar baby? Sudut pandang inilah yang seharusnya diambil kira.

Yang sudah berkerjaya, adakah kerana gaji mereka murah atau tidak mencukupi? Adakah mereka ibu tunggal?

Jika gaji menjadi puncanya, seharusnya kerajaan menaikkan lagi kadar gaji minimum yang lebih tinggi dan pihak syarikat wajar menaikkan gaji pekerja sesuai dengan bebanan kerja dan menjaga kebajikan mereka.

Tetapi dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang, ia dilihat amat sukar dilaksanakan.

Bagaimana pula dengan mahasiswa IPT yang terpaksa menampung yuran pengajian yang mahal?

Kebajikan mereka seharusnya diambil berat oleh pihak IPT sendiri kerana pengajian dibuat dalam talian dan kos yuran wajar dikurangkan.

Bagi mahasiswa yang bermasalah dengan kos sara hidup, mungkin pihak IPT boleh membantu atau salurkan maklumat mereka kepada pusat zakat atau NGO-NGO kebajikan untuk tindakan lanjut.

Bekerja separuh masa di luar IPT untuk menampung kos sara hidup juga boleh menjadi alternatif.

Sememangnya agak sukar untuk mengenal pasti siapakah mereka yang terlibat menjadi sugar baby kerana ia melibatkan info daripada syarikat luar negara dan juga menyentuh privasi individu.

Walaupun sukar, dengan pelbagai inisiatif bantuan dan kebajikan daripada pihak kerajaan, swasta, IPT, pusat zakat dan NGO-NGO, sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan jumlah mereka yang menjadi sugar baby pada masa hadapan.

Sugar daddy pula bagaimana? Mereka seharusnya sedar bahawa kekayaan mereka tidak wajar digunakan untuk membeli kehormatan orang lain tetapi mereka perlu memanfaatkan kekayaannya itu kepada masyarakat dan negara.

Terlalu banyak pertubuhan, badan-badan dan NGO kebajikan yang boleh mereka sumbangkan dana bantuan, lebih baik daripada mereka melakukan perbuatan sumbang itu.

Apapun, pendidikan tentang akhlak, bahaya zina dan pornografi perlu dipupuk dan dititikberatkan sedari kecil agar anak-anak mampu melindungi kehormatan diri serta tidak mudah mengikut hawa nafsu walaupun berada dalam kesempitan dan kesulitan hidup.

* Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti berkhidmat di Jabatan Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia