Kejayaan industri pertahanan Singapura

A
A
A

PASTI ia menjadi satu tajuk besar sekiranya sebuah syarikat pertahanan negara berjaya menembusi pasaran antarabangsa apabila produk buatan tempatan menjadi pilihan pasukan tentera negara lain.

Apatah lagi sekiranya pihak yang memilih untuk menggunakan produk buatan anak Malaysia ini adalah negara kuasa hebat manakala penggunaannya pula untuk beroperasi pada medan tempur sebenar.

Kejayaan itulah yang dibuktikan syarikat negara jiran, Singapore Technologies Kinetics (ST Kinetics) yang kini dikenali sebagai ST Engineering Land Systems (STELS) apabila kenderaan berunut untuk pelbagai muka bumi iaitu Bronco dijual ke luar negara.

Ia dibina ST Kinetics dengan kerjasama Agensi Sains Pertahanan dan Teknologi Singapura (DSTA) berikutan keperluan tentera negara itu untuk mengoperasikan sebuah kenderaan sedemikian.

Sebanyak 600 buah Bronco pelbagai variasi digunakan tentera republik itu.

Thailand menjadi pengguna luar negara pertama apabila memesan kenderaan ini pada tahun 2007.

Berdasarkan pengalaman bertugas di Aghanistan, pada tahun 2008 Tentera Darat Britain telah memesan 100 buah kenderaan ini yang kemudian dikenali sebagai Warthogs atau Bronco 2 dan diterima secara berperingkat-peringkat setahun kemudian.

Pembelian bernilai S$330 juta ini adalah bagi menggantikan kenderaan jenis sama tetapi buatan lain iaitu Viking yang dibina secara usahasama antara BAE System dan Hagglunds, Sweden.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu peristiwa pada tahun 2010, sekumpulan kru tentera Britain terselamat apabila kenderaan Warthong terkena bahan letupan buatan sendiri yang dipasang pejuang Taliban dalam satu serangan di Lembah Helmand.

Keyakinan terhadap kualiti teknologi persenjataan Singapura juga menyaksikan Britain pada tahun 2007 membeli peluru grenad berkaliber 40mm bernilai S$65 juta untuk kegunaan di medan tempur.

Pencapaian ini menunjukkan kebolehan Singapura sebagai pengeluar kelengkapan pertahanan biarpun pada skala ekonomi kecil tetapi memberikan prestij yang sangat tinggi terhadap kemampuan saintis dan teknologis republik tersebut.

Industri pertahanan Singapura terus maju ke hadapan apabila firma sama membangunkan sebuah kenderaan tempur infantri (ICV) moden iaitu Terrex 8x8.

Prototaip kenderaan ini yang dibina pada tahun 2004 telah diuji secara ekstensif di beberapa muka bumi negara Asia dan Eropah sebelum 135 buah kenderaan Terrex dibina untuk kegunaan Tentera Darat Singapura.

Terrex turut tercalon untuk bersaing bagi penggantian kenderaan armor tentera Australia menerusi Program Land 400 dengan mempertaruhkan kenderaan Sentinel 2 iaitu versi dipertingkatkan dengan kerjasama firma Elbit Systems Australia.

Biarpun tewas pada kenderaan Rheinmetall Boxer CRV, namun kebolehan untuk bersaing dengan pengeluar global seperti inilah yang menjadi pemacu pada pencapaian masa hadapan industri pertahanan Singapura.

Tentera Ghana kemudian menjadi pengguna luar negara pertama kenderaan Terrex 2 apabila membeli sebanyak 19 buah.

Pada tahun 2016, pasukan Kor Marin Amerika Syarikat pula telah membeli 13 buah Terrex 2 bernilai AS$121.5 juta untuk diuji bagi program pencarian kenderaan tempur amfibia (ACV).

Selain Terrex, Kor Marin AS turut menguji kenderaan SuperAV buatan firma BAE Systems dan Iveco setelah General Dynamics gagal menepati kriteria.

Penilaian kemudian memihak kepada SuperAV, namun pemilihan Terrex 2 untuk bersaing pada peringkat ini membuktikan kematangan serta kemajuan teknologi ketenteraan negara seberang tambak.

Singapura telah membuktikannya, industri pertahanan Malaysia pula bila lagi?

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu