'Kelakar dulu tinggalkan UMNO tapi kini masih sayang UMNO'

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
A
A
A

SHAH ALAM - Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyindir bekas pemimpin parti itu yang mengakui masih sayangkan UMNO.

Sindiran itu dipercayai ditujukan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan pengakuan beliau sebelum ini yang masih menyayangi UMNO.

Tengku Adnan berkata, pengakuan itu seolah-olah satu sandiwara dan melucukan.

"Ada rasa kelakarnya apabila ada individu yang dulu melompat meninggalkan UMNO sewaktu UMNO hilang kuasa majoriti membentuk kerajaan tapi hari ini mula bersuara ‘manis’.

"Sejak beberapa hari ini kedengaran suara mereka berkata masih sayangkan UMNO, mulalah mengakui UMNO banyak berjasa dan masih nama UMNO juga dijaja dalam pentas politik mereka biarpun mereka bukan lagi ahli UMNO," katanya dalam hantaran di Facebook beliau pada Isnin.

Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan mengakui beliau masih menyayangi parti pertama yang dipimpinnya iaitu UMNO sehingga kini.

"Ya, saya masih sayang UMNO, 22 tahun saya jadi Presiden UMNO," katanya pada Program 'Bersama Tun M' yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Studio F, Kumpulan Karangkraf.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata, UMNO terbukti parti keramat kerana berjaya menaikkan nama seseorang individu dari orang biasa menjadi pemimpin ternama hinggakan ada yang menjadi negarawan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, disebabkan ketidakpuasan rasa, UMNO juga dijadikan alat kebencian dan cuba dipersalahkan atas pelbagai kesalahan peribadi individu tersebut.

"Nak kembali sertai UMNO...mudah sahaja. Namun sewajarnya masuklah dulu bengkel atau kelas khas bagi memahami asas dan tujuan penubuhan UMNO.

"Fahami dan hayati setiap nilai perjuangannya kerana tentunya tidak adil kepada mana-mana individu untuk berpatah balik semudah membuat 'U-turn' di atas jalan raya," katanya.

Tegas Tengku Adnan, biarpun pentas politik sentiasa berubah namun ketegasan terhadap mereka yang bermuka-muka perlu dilaksana.

Katanya, tentulah tak wajar pada mana-mana individu yang menjilat ludah untuk diangkat sebagai teraju kembali walhal anggota yang kekal bersetia saat susah dan senang hanya memandang dan diminta menerima.