X

Kindly register in order to view this article
!

Korek pasir bukan punca utama runtuhan tebing Sungai Kelantan

Azami (kiri) menunjukkan salah satu foto yang berkait dengan kes runtuhan tebing di Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas.
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menjelaskan aktiviti korek pasir bukanlah faktor utama penyebab berlakunya runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Jalan Pohon Celagi, Pasir Mas pada Rabu.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Utiliti Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor berkata, susulan tragedi terbabit satu Jawatankuasa Teknikal, Tender dan Pemantauan Runtuhan Tebing Bandar Pasir Mas juga ditubuhkan pada hari kejadian.

“Pihak kita masih lagi mencari punca sebenar yang berlaku, mungkin aktiviti korek pasir juga menjadi sebab tetapi ingin saya tegaskan ia bukanlah faktor penyebab utama kepada berlakunya tanah runtuh.

“Ada yang kata puncanya daripada aliran air bawah tanah yang sudah lama tidak diselenggara.

“Bagaimanapun, persoalan kepada faktor utama masih lagi tiada jawapan sehinggalah kita mendapat laporan forensik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada Rabu lalu, kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan itu turut menyebabkan lima rumah ranap namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Azami berkata, jawatankuasa ditubuhkan itu dikhususkan untuk menyelia projek-projek berkenaan bagi pelantikan kontraktor, perbelanjaan dan sebagainya yang dipengerusikan beliau sendiri.

Katanya, ia turut melibatkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal, pegawai JPS, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Kerja Raya (JKR), pegawai kewangan negeri serta agensi-agensi yang terlibat.

“Jawatankuasa ini antara lain bertujuan mengumpulkan bukti, menyiasat secara terperinci, melakukan tindakan serta perlaksanaan kepada penyelesaian yang sepatutnya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tebing Sungai Kelantan runtuh

Tebing runtuh: Tiga rumah alami keretakan kecil

Rumah, kereta lenyap depan mata

Katanya, semasa siasatan dijalankan, kerajaan negeri Kelantan juga mencadangkan supaya tidak dibenarkan sebarang aktiviti pembinaan di sepanjang tebing sungai berkenaan.

Sr Azami berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat nasib penduduk terlibat dengan mencari dan menyediakan tempat tinggal baharu di sekitar taman perumahan tersebut untuk meneruskan kehidupan.

“Bagi penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah, mereka semua akan dikenal pasti melalui mesyuarat khas esok (Selasa) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!