X

Kindly register in order to view this article
!

UDA Niaga jadi ‘one-stop centre’ usahawan di Jelebu

DR WAN JUNAIDI
A
A

JELEBU - Pembinaan kedai koperasi atau UDA Niaga bernilai kira-kira RM1.7 juta yang bakal dibangunkan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) dijangka mampu mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif di Jelebu, Negeri Sembilan.

Projek pembinaan kedai koperasi di atas tanah seluas 0.068 hektar milik Koperasi Kakitangan Kerajaan Daerah Jelebu Berhad di Kuala Klawang itu juga bakal menjadi pemangkin (catalytic project) dalam menjana ekonomi setempat.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, projek UDA Niaga yang menawarkan empat lot rumah kedai dua tingkat itu dijangka berpotensi dijadikan sebagai ‘one-stop centre’ untuk usahawan di kawasan tersebut.

Beliau berkata, ia juga boleh menjadi pusat sehenti untuk agensi-agensi di bawah Medac, seterusnya memudahkan penduduk tempatan mendapatkan maklumat berkaitan insentif serta program keusahawanan yang disediakan.

“UDA Niaga yang berdekatan dengan sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan dan terletak di tengah-tengah bandar Kuala Klawang ini akan memberi manfaat kepada komuniti.

"Ia juga merupakan salah satu usaha produktif oleh pihak koperasi bagi menggalakkan aktiviti keusahawanan dalam kalangan ahli koperasi, usahawan dan masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah Wan Junaidi, pihaknya berharap inisiatif berkenaan akan menjadi contoh dalam menggalakkan semangat keusahawanan di kawasan tersebut serta koperasi-koperasi yang lain.

"Pihak kementerian berbangga dengan kolaboratif antara koperasi dan UDA dalam mempergiat program keusahawanan dan semoga usaha sama ini menjadi model untuk agensi dan syarikat lain agar dapat menggembleng tenaga dalam mengembangkan lebih banyak program keusahawanan demi melonjakkan ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya sebelum ini telah membangunkan 168 unit kedai seperti UDA Niaga (dahulunya dikenali sebagai Kedai Desa) di 16 tapak di seluruh negara dengan dana pembangunan yang diberikan oleh pihak kerajaan.

“UDA diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk membangunkan UDA Niaga di seluruh negara antaranya di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Projek UDA Niaga ini lebih tertumpu kepada pembangunan lot kedai di atas tanah milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penduduk setempat akan menerima manfaat daripada pembangunan tersebut," katanya.

Katanya, UDA Niaga yang telah siap dibina akan diserahkan kepada pihak PBT selaku pemilik tanah untuk pengisian peniaga atau usahawan tempatan.

“Pelaksanaan projek ini dapat mendukung hasrat kerajaan dalam meningkatkan pembabitan masyarakat khususnya golongan Bumiputera dalam sektor perniagaan selain turut membuka peluang kepada kontraktor dan perunding tempatan mendapat kerja-kerja pembinaan.

"Usaha ini juga selari dengan misi dan visi UDA iaitu memperkasa gaya hidup lestari,” katanya.

Pada majlis sama, Wan Junaidi turut menyampaikan replika cek kepada 13 koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM (TMP-SKM) dan Dana Bantuan Pembangunan SKM kepada koperasi setempat dengan jumlah keseluruhan RM444,360.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!