X

Kindly register in order to view this article
!

Suami isteri cari ibu kandung anak angkat

Fadhillah menunjukkan surat kelahiran Muhammad Tashriq ketika ditemui di Taman Daya, Johor Bahru pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang suami isteri mencari ibu kandung kepada anak angkatnya bagi urusan dokumentasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Fadhillah Idris, 32, dari Taman Daya di sini berkata, Muhammad Tashriq Aqasya Abdul Fatah, 4, yang dijaganya bersama-sama suami, Mohd Zaiqalahaqim Mohamad, 31, masih belum sah taraf sebagai anak angkat.

Menurutnya, JKM memerlukan surat akuan pengesahan penyerahan Muhammad Tashriq daripada ibu kandungnya, Fidah Saleh, 22, yang berasal dari Kemboja.

"Kami memelihara Muhammad Tashriq sejak berusia setahun selepas mengambilnya daripada ibu saudara suami saya. Kami tidak mengambilnya secara terus daripada Fidah selepas melahirkannya pada 13 Disember 2017.

"Selepas Muhammad Tashriq yang dilahirkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, Fidah yang ketika itu berusia 18 tahun menyerahkannya kepada ibu saudara suami saya," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Dia berkata, memandangkan ibu saudara suaminya yang berusia lewat 70-an sudah uzur, mereka yang tidak mempunyai cahaya mata ketika itu mengambil keputusan memelihara Muhammad Tashriq.

Menurutnya, Muhammad Tashriq mempunyai sijil kelahiran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor tetapi kini memerlukan surat pengesahan anak angkat daripada JKM yang memerlukan persetujuan ibu kandungnya.

"Malangnya sehingga kini kami masih tidak dapat menjejaki ibu kandungnya. Pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menghubungi ibu saudara suami saya dan kenalan ibu kandungnya tetapi menemui jalan buntu.

"Ibunya dikatakan sudah pulang semula ke Kemboja. Kehadiran Fidah amat diperlukan untuk proses penyerahan anak angkat dan seterusnya proses kewarganegaraan Muhammad Tashriq," katanya.

Sehubungan itu. Fadhillah meminta orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana Fidah berada supaya menghubunginya menerusi 018-202 4455.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!