Bekalan air Melaka bertahan tiga bulan

Idris menunjukkan gambar pencemaran kawasan pertanian akibat tindakan sebuah syarikat pelupusan sampah yang didakwa melepaskan sisa pencucian ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Sungai Udang, Sungai Udang, di sini, pada Isnin.
Idris menunjukkan gambar pencemaran kawasan pertanian akibat tindakan sebuah syarikat pelupusan sampah yang didakwa melepaskan sisa pencucian ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Sungai Udang, Sungai Udang, di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Bekalan air mentah di ketiga-tiga empangan utama di Melaka dijangka hanya mampu bertahan sehingga Mei ini iaitu kira-kira tiga bulan, kata Exco Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, ia berlaku akibat cuaca panas dan kering dalam tempoh yang lama tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, rakyat tidak perlu bimbang kerana Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan berlaku taburan hujan sekitar kawasan pesisir pantai Melaka dalam empat hingga lima hari ini.

Menurutnya, setakat ini kesemua kawasan tadahan air di negeri itu berada pada kadar positif termasuk Empangan Jus di Jasin mencatatkan paras air 86 peratus.

"Walaupun cuaca panas, namun keadaan tidak berlaku sehingga rakyat terpaksa menghadapi catuan air seperti tahun lalu. Apa yang kita harapkan taburan hujan kali ini akan lebih konsisten dan berlarutan sehingga ke kawasan tadahan air termasuk di Batu Berendam dan Empangan Air Durian Tunggal, " katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang, di Sungai Udang, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA) negeri, Faizah Abdul Rahman.

MetMalaysia melaporkan, fasa akhir Monsun Timur Laut dengan taburan hujan yang agak rendah menjadi penyebab kepada berlakunya cuaca panas dijangka hingga April ini.

Artikel Berkaitan:

Fenomena biasa itu berlaku setiap Februari hingga April pada setiap tahun bagaimanapun keadaan panas luar biasa yang tidak dijangka berlaku pada tahun ini.

Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, sebanyak 110 juta gelen air sehari disalurkan kepada rakyat di negeri ini dan sekurang-kurangnya mampu melegakan hati rakyat.

"Selain itu kita masih meneruskan kemasukan air dari negeri jiran dan segalanya berjalan lancar bagi menampung bekalan air berkekalan kepada setiap isi rumah," katanya.

Pada sidang akhbar itu, Idris memaklumkan sebuah syarikat pelupusan sampah yang beroperasi di Tapak Pelupusan Sanitari Sungai Udang dikompaun RM10,000 kerana melepaskan sisa pencucian sehingga mencemarkan saliran air kawasan terbabit yang dijadikan sumber utama pertanian.