Status geopark kebangsaan Lembah Kinta tidak akan ditarik balik

Shamsul Anuar melihat pelan Geotapak Gunung Lang sempena lawatan kerjanya pada Isnin. Foto: Majlis Bandaraya Ipoh
Shamsul Anuar melihat pelan Geotapak Gunung Lang sempena lawatan kerjanya pada Isnin. Foto: Majlis Bandaraya Ipoh
A
A
A

IPOH - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli yakin status pengiktirafan tapak warisan geologi Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan tidak akan ditarik balik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) sentiasa membantu kerajaan negeri untuk meneruskan inisiatif yang ditetapkan dalam pelan bagi mengekalkan status berkenaan.

Menurutnya, ia termasuklah sudut teknikal iaitu kajian bagi menambah maklumat mengenai sumber geotapak dan pembangunan geopark agar kawasan itu terus kekal relevan sebagai Geopark Kebangsaan.

"Geopark Lembah Kinta ini berbeza sedikit, ia tidak menghalang pembangunan ekonomi, tetapi jangan sampai menjejaskan kerana penilaian dibuat setiap tahun dan jika ada yang melanggar (penilaian), itu akan menyebabkan status ditarik balik.

"Tetapi saya berkeyakinan di Lembah Kinta ini tidak akan berlaku perkara sedemikian," katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke Geotapak Gunung Lang di Geopark Lembah Kinta, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Geopark Lembah Kinta yang meliputi keseluruhan daerah Kinta, Kampar dan Batu Gajah dengan keluasan dianggarkan 1,952 kilometer persegi itu mempunyai 18 geotapak yang mana kesemuanya terletak di luar kawasan aktiviti pengkuarian.

Bagaimanapun katanya, kementerian dengan tegas memastikan apa juga yang mahu dilakukan di tapak geopark itu termasuk pembangunan kuari di kawasan berhampiran dibuat dengan pematuhan terhadap akta dan garis panduan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Anuar mendengar penerangan mengenai Geopark Lembah Kinta sempena lawatan kerja ke Geotapak Gunung Lang, Ipoh pada Isnin. - Foto: Majlis Bandaraya Ipoh
Shamsul Anuar mendengar penerangan mengenai Geopark Lembah Kinta sempena lawatan kerja ke Geotapak Gunung Lang, Ipoh pada Isnin. - Foto: Majlis Bandaraya Ipoh

"Komitmen kementerian sangat tinggi, apa juga aktiviti pengkuarian dan perlombongan yang hendak dilakukan akan kita pastikan ia memenuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Kita faham keperluan pembangunan untuk meningkatkan pendapatan negeri, tetapi dalam waktu sama juga ia mesti mematuhi peraturan-peraturan yang sepatutnya," katanya.

Lawatan kerja yang turut disertai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi itu bagi melihat perkembangan terkini tapak warisan itu yang akan menjalani penilaian semula tahun ini setelah penilaian pertama dibuat 2017 lalu.

Selain Geotapak Gunung Lang, lawatan turut diadakan di sekitar Gua Matsoorat yang dicadang diangkat sebagai geotapak ke-19 bagi Geopark Lembah Kinta.

Mengulas perkara itu, Shamsul Anuar berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan JMG dalam merealisasikan usaha itu.

"Saya yakin usaha sedang dilakukan untuk membolehkan kawasan itu yang punya nilai-nilai dan ciri yang boleh dikategorikan sebagai satu lagi geotapak di Geopark Lembah Kinta ini.

"Itu satu lagi tarikan baharu kerana saya percaya dari masa ke masa kita mesti menambah baik untuk bolehkan kawasan ini ditingkatkan terutama sekali kalau dapat penemuan geotapak-geotapak baharu dan daripada lawatan tadi pun kita nampak nilainya sangat tinggi," katanya.