X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

Covid-19: 2,192 kes baharu, 3,414 sembuh

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 2,192 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara sebanyak 285,761 setakat ini, selain enam lagi kematian dilaporkan akibat pandemik itu dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes sembuh harian sebanyak 3,414 kes yang dilaporkan hari ini, juga lebih tinggi berbanding kes positif harian, menjadikan jumlah sembuh keseluruhan hingga kini sebanyak 252,623 kes.

“Kes aktif pula setakat ini ialah 32,076 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Isnin.

Menurutnya, daripada jumlah kes baharu harian itu, 2,189 merupakan kes tempatan melibatkan 1,337 warganegara dan 852 warga asing, manakala tiga lagi adalah kes import melibatkan dua warganegara dan seorang warga asing.

Selangor, katanya, terus mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 910 kes, diikuti Kuala Lumpur (303 kes), Sarawak (221) dan Johor (211).

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian yang dilaporkan hari ini melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Pahang, Johor, Sabah serta Sarawak, dengan lingkungan umur mereka antara 17 dan 84 tahun.

Katanya, 199 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 91 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, 109 kes dilaporkan berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen, antaranya membabitkan Kluster Tembok Tapah dengan 39 kes, Kluster Tembok Bendera (26), Kluster Penjara Jalan Harapan (25) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (9).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, lapan lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini, dengan tujuh daripadanya berkaitan tempat kerja manakala satu kluster melibatkan komuniti iaitu Emperoh Jambu di Sarawak.

“Kluster tempat kerja yang dikenal pasti ialah Tapak Bina Jalan Kota, Tapak Bina Lombong Timah dan Pasar Jalan Putra di Selangor; Tapak Bina Sungai Batu (Kuala Lumpur); Industri Sungai Gadut (Negeri Sembilan); Hilir Sungai Kluang (Pulau Pinang); Sungai Bakong (Sarawak).

“Sejumlah 99 kluster mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini, dan kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Sungai Putus (186 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Pantai (62 kes) dan Kluster Jalan Cochrane (54 kes),” katanya.

Pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster aktif kini 504 manakala jumlah keseluruhan kluster tamat ialah 578 selepas 14 kluster dilaporkan tamat pada hari ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!