Perhilitan tangkap harimau cedera dengan kesan tembakan

Haiwan pemangsa ini dimasukkan ke dalam kurungan dan akan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan susulan dan pemantauan lanjut. Foto: Perhilitan
Haiwan pemangsa ini dimasukkan ke dalam kurungan dan akan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan susulan dan pemantauan lanjut. Foto: Perhilitan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor harimau jantan yang cedera dengan tiga kesan tembakan ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di ladang Felda Kerteh 2, Dungun pada Isnin.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof berkata, harimau berkenaan ditangkap menggunakan tembakan ubat pelali oleh pasukan Perhilitan yang menjejaki haiwan itu sejak jam 6.30 petang pada Ahad.

“Kita mendapat aduan mengenai harimau ini semalam (Ahad) dan bertindak atas laporan itu, pasukan kita menjejakinya namun gagal kerana hari sudah gelap. Operasi bersambung pagi tadi (Isnin) dan berjaya menemuinya.

“Kita dapati ada tiga kesan tembakan pada bahagian kaki belakangnya. Harimau ini akan dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) untuk rawatan susulan dan pemantauan lanjut,” katanya.

Dr Abdul Malek berkata, tangkapan harimau itu diharap dapat menyelesaikan masalah serangan haiwan karnivor berkenaan terhadap binatang ternakan penduduk sekitar ladang sejak setahun lalu.

Harimau jantan yang berjaya dijejaki Perhilitan.Foto: Perhilitan
Harimau jantan yang berjaya dijejaki Perhilitan.Foto: Perhilitan

Terdahulu, tular satu video memaparkan penemuan seekor harimau di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 2, Dungun dipercayai dirakam oleh pekerja buruh asing.

Rakaman selama 45 saat itu menunjukkan harimau yang beberapa kali mengaum itu tidak dapat bergerak dipercayai mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Disember lalu pernah melaporkan seramai 30 penternak lembu di Felda Kerteh 4, Dungun tidak dapat tidur lena apabila kira-kira 20 ekor haiwan ternakan mereka dibaham harimau sepanjang tahun lalu melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

Susulan ancaman itu, Perhilitan Terengganu bertindak memasang dua perangkap bagi menangkap haiwan pemangsa itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 ekor lembu dibaham harimau

Serangan pak belang: Perhilitan pasang satu lagi perangkap