Ali Rustam disenarai individu pertama terima vaksin di Melaka

Ali Rustam
Ali Rustam
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri menyenaraikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam sebagai individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, diikuti Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada 28 Februari ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua pemimpin tersebut bersama 10,000 barisan hadapan terdiri daripada petugas kesihatan akan menerima suntikan vaksin berkenaan yang akan dilaksanakan di 13 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Lokasi PPV itu adalah di tiga buah hospital kerajaan iaitu Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah serta di 13 klinik kesihatan seluruh negeri.

"Perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) baru-baru ini, kita mencadangkan Yang Dipertua Negeri menjadi penerima pertama vaksin Covid-19," katanya pada sidang media di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek, di Ayer Molek, di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, barisan Exco dan ADUN juga dicadangkan bersama barisan hadapan untuk menerima vaksin tersebut pada fasa pertama.

"Kita juga telah berbincang dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memastikan bekalan elektrik tidak terputus di tempat penyimpanan vaksin itu," katanya.

Pada Ahad, kumpulan pertama vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang tiba di Malaysia dihantar ke 16 lokasi pusat simpanan sebagai persediaan awal untuk memulakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Artikel Berkaitan: