X

Kindly register in order to view this article
!

Rayu Agong pendekkan tempoh darurat

Datin Paduka Tan Yee Kew (depan, tiga dari kiri) dan individu- individu dari pelbagai lapisan masyarakat dan memegang pelbagai jawatan dalam komuniti dan organisasi masing-masing tampil menyerahkan surat rayuan mereka kepada Seri Paduka Baginda di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Wangsa Maju di Jalan Ibu Kota pada Isnin.
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Tan Yee Kew bersama kira-kira 150 individu dalam kawasan Parlimen itu menghantar surat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong memohon perkenan Seri Paduka Baginda untuk memendekkan tempoh darurat.

Yee Kew dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, penggantungan Parlimen menafikan kuasanya sebagai wakil rakyat untuk membawa aduan rakyat ke Parlimen sejak perintah darurat dilaksanakan.

Menurutnya, disebabkan itu, beliau dan 150 individu termasuk ketua kampung, bekas veteran tentera, peniaga kecil, golongan profesional dan guru menghantar surat rayuan memohon Seri Paduka Baginda menggunakan kebijaksanaan dan kuasa Perlembagaan untuk membantu rakyat serta negara.

“Rakyat tidak ada pilihan selain mengemukakan perkara ini kepada Seri Paduka Baginda yang merupakan ketua utama negara.

“Pelbagai lapisan masyarakat dan memegang pelbagai jawatan dalam komuniti serta organisasi masing-masing telah tampil untuk menyerahkan surat rayuan mereka kepada Seri Paduka Baginda,” katanya.

Sementara itu, Yee Kew berkata, beliau menerima aduan dan permohonan bantuan daripada rakyat di Wangsa Maju sejak Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan dan melaksanakan pelbagai langkah pencegahan penyebaran wabak Covid-19.

Antara isu yang dibangkitkan adalah kesulitan kewangan dihadapi penduduk Wangsa Maju, kerisauan mereka terhadap ketidakstabilan dan kegagalan berfungsi kerajaan PN serta hilang keyakinan tentang kemampuan kerajaan terbabit untuk membendung pandemik serta memulihkan ekonomi.

“Kami berpendapat kerajaan PN amat lemah dan tidak stabil, yang mana Kabinet gagal berfungsi dan kami yakin bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti Parlimen.

“Untuk menangani situasi krisis masa kini, kita memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil, Kabinet yang cekap, serta seorang Perdana Menteri yang berkebolehan serta mendapat sokongan majoriti Parlimen untuk memimpin negara mengharungi masa mencabar ini,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!