Malaysia terima 4 pengiktirafan Anugerah Kraf Antarabangsa 2020

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi empat anugerah dalam Majlis Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) 2020 di Bikaner House, New Delhi di India pada Ahad.

Empat anugerah itu diperoleh menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang dinobatkan sebagai ‘Lifetime Achievement for a Government Representative’ manakala Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD) memenangi kategori ‘Craft Institute/Academy of the Year’.

MOTAC dalam kenyataan pada Isnin selain itu memaklumkan, Projek Kraf Komuniti Ku (KKK) Kampung Kepala Bendang, Sayong Kuala Kangsar, Perak pula diiktiraf sebagai ‘Village of the Year’ dan pereka daripada Kraftangan Malaysia Cawangan Perak Rahmi Bujang memenangi kategori ‘Designer of the Year (Gen-Next)’.

Mengulas mengenai pencapaian itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengiktirafan itu adalah hasil komitmen dan kerjasama semua pihak terutamanya sokongan daripada rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam membangunkan industri kraf tanah air.

"Saya yakin industri ini akan terus berkembang dengan penghasilan produk kreatif baharu selain menyokong penjanaan ekonomi negara dan seterusnya membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat," katanya.

Program ICA anjuran Craft Village itu merupakan satu platform untuk mengiktiraf sumbangan individu, tukang kraf, artisan, pereka bentuk dan organisasi dari seluruh dunia dalam pembangunan inklusif serta kelestarian dalam sektor kraf.

Craft Village adalah pertubuhan sosial dari New Delhi, India yang merupakan anggota World Craft Council – Asia Pacific Region (WCC-APR), Res-Arties (Belanda) dan Residency Unlimited (New York). - Bernama

Artikel Berkaitan: