X

Kindly register in order to view this article
!

KDA FC masih belum serasi

Syazwan (kanan) turut diturunkan pada aksi persahabatan menentang Penang FC di Stadium Negeri Pulau Pinang yang berkesudahan KDA FC tewas 3-1 pada Ahad.
A
A

TAHAP keserasian pemain-pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC belum mencapai 100 peratus dan perlu dipertingkatkan lagi sebelum aksi Piala Sumbangsih 2021 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 5 Mac depan di Stadium Sultan Ibrahim.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, keputusan kurang memberangsangkan pada dua aksi persahabatan sebelum ini tidak boleh dijadikan sebagai ukuran.

Sebaliknya, beliau berkata, keserasian pemain perlu dipertingkatkan lagi pada aksi persahabatan menentang Selangor FC pada 24 Februari, Skuad Projek Majlis Sukan Negara (26 Februari) dan Sarawak United (27 Februari).

"Kita baru memulakan latihan selepas lama berehat akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Walaupun baru berlatih dalam empat, lima hari tapi perkembangan itu positif cuma kena perbaiki lagi.

“Gabungan pemain lama dan baharu juga baik tapi boleh diperbaiki dalam perlawanan persahabatan lepas ini sebelum berjumpa JDT,” katanya kepada pemberita di Alor Setar pada Isnin.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, beberapa pemain baharu seperti Rodney Calvin dan Rozaimi Abdul Rahman juga sedang menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan termasuk pihaknya melakukan beberapa pertukaran baharu pada setiap perlawanan.

Sementara itu, pemain sayap Kedah, Mohd Syazwan Zainon mengakui semua pemain sedang bekerja keras untuk mencapai tahap kecergasan masing-masing selepas kembali berlatih bersama sejak 15 Februari lalu.

Menurutnya, dia melihat sudut yang positif di dalam pasukan itu apabila jurulatih termasuk semua pemain berusaha memperbaiki segala kekurangan yang ada.

"Walaupun tewas 3-1 kepada Penang FC dalam perlawanan pada Ahad, namun dari segi permainan dan taktikal rasanya kita berada pada tahap yang baik.

"Cuma perlu gandakan usaha untuk perlawanan-perlawanan seterusnya," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!