MCA cadang bina penempatan khas pekerja asing di Negeri Sembilan

Koi Voon (tengah), Kian Nam (kanan) dan Dafney pada sidang akhbar di Wisma Persekutuan, Seremban pada Isnin.
Koi Voon (tengah), Kian Nam (kanan) dan Dafney pada sidang akhbar di Wisma Persekutuan, Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - MCA Negeri Sembilan mencadangkan supaya sebuah pusat penempatan khas dibina bagi menangani kepadatan penghuni asrama pekerja asing di negeri itu.

Pengerusinya, Siow Koi Voon berkata, cadangan tersebut perlu bagi memastikan mereka mempunyai persekitaran kehidupan yang memenuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 466).

Katanya, pihaknya menerima aduan daripada penduduk setempat memaklumkan bahawa penginapan asrama pekerja asing di kawasan mereka terlalu padat dan membimbangkan.

"Kalau boleh MCA mahu mencadangkan kepada kerajaan negeri menyediakan tempat penginapan berpusat untuk pekerja, termasuk pekerja asing yang akan ditempatkan di kawasan khas.

"Ini selari dengan Akta 446 iaitu menyediakan penginapan kepada pekerja asing dengan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

"Cadangan ini bukan untuk menangani isu penularan Covid-19 sahaja tetapi ini juga berkenaan hak asasi manusia, perlu ada persekitaran kehidupan yang memenuhi standard minimum," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri sesi dialog bersama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan di Wisma Persekutuan, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Biro Kempen Masyarakat Sivil MCA Nasional, Ng Kian Nam dan Biro Wanita MCA Bahagian Rasah, Dafney.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kian Nam menyambut baik keputusan kerajaan menyediakan vaksin Covid-19 secara percuma termasuk kepada pekerja asing yang menetap di negara ini.

Katanya, ia bagi memastikan perlindungan kesihatan diberikan kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan latar belakang.

"Selain hak asasi dan tidak berlaku diskriminasi terhadap bukan warganegara di negara ini, ia juga bagi memastikan tidak wujud kluster baharu dan penularan kes Covid-19 dalam kalangan pekerja asing.

"Jika vaksin diberikan kepada semua, ia akan mengurangkan kes penularan Covid-19 di negara ini dan semua orang tanpa mengira status, berpeluang mendapat akses kepada penjagaan kesihatan," katanya.

Pada 12 Februari lepas, kerajaan dilaporkan bersetuju Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula pada akhir Februari ini bakal membabitkan pemberian vaksin secara percuma kepada bukan warganegara yang menetap di Malaysia.