Nur Jazlan cabar Pas bekerjasama dengan Amanah

Nur Jazlan Mohamed
Nur Jazlan Mohamed
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, mencadangkan agar Pas mengajak parti Amanah bekerjasama dalam Perikatan Nasional ( PN) jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan penyatuan ummah.

Menurutnya, seperti mana Pas menggesa UMNO menerima kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kerajaan PN atas nama menyatukan orang Melayu, Pas juga sepatutnya mampu mempelawa bekas parti serpihan itu dalam kerjasama politik.

"Sebelum ini Pas begitu ghairah mendesak UMNO menjalinkan kerjasama politik bersama Bersatu dengan mengeluarkan pelbagai dalil dan hujah atas alasan demi penyatuan ummah.

"Oleh itu, saya mencabar Pas supaya memujuk Amanah meninggalkan Pakatan Harapan dan berganding bahu dalam PN.

"Apabila Pas boleh bersahabat dengan Amanah, mungkin kepimpinan UMNO juga boleh memikirkan untuk bekerjasama dengan Bersatu atas nama perpaduan Melayu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata, cadangan itu juga turut dipanjangkan kepada Bersatu supaya meluluskan pendaftaran parti Pejuang dan Muda serta mengajak mereka bersama dalam PN.

Jelas beliau, jika semua pihak jujur mahu memperjuangkan agenda penyatuan ummah, mereka perlu adil dan menerima cadangan ini kerana ia baik untuk keseluruhan orang Melayu.

"Jangan hanya pandai minta UMNO sahaja menerima kewujudan parti serpihannya, Pas dan Bersatu juga perlu berjiwa besar untuk mempelawa parti serpihan mereka bekerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Bila semua parti Melayu bekerjasama sama mungkin kita boleh wujudkan satu kerjasama politik baharu dengan gunakan nama baharu.

"Dari situlah baru kita boleh nampak adakah Pas dan Bersatu jujur dalam agenda penyatuan ummah atau sekadar retorik politik untuk terus memegang kuasa serta jawatan," katanya.

Begitupun katanya, jika Pas menolak cadangan berkenaan beliau menasihatkan parti itu agar tidak lagi 'berkahwin dua' dengan Muafakat Nasional dan PN kerana terbukti mereka tidak dapat berlaku adil.

Jelasnya, Pas perlu memilih hanya satu pihak sahaja untuk bekerjasama kerana selama ini cukup jelas parti itu hanya mengutamakan kerjasama dengan PN berbanding menyelamatkan MN disebabkan tamak kuasa dan jawatan dalam kerajaan.

“Kalau tak boleh berlaku adil jangan nak hidup bermadu dan berlaku curang kepada MN. Pas perlu membuat pilihan sama ada nak bersama MN atau PN.

“Ini tidak, Pas cakap mahu terus memperkukuhkan MN tetapi melebih-lebihkan PN sebab mereka diberikan jawatan serta kuasa. Mana boleh main dua kolam macam ni,” katanya.

Nur Jazlan memberitahu beliau turut mendapat khabar ada ahli akar umbi Pas sendiri tidak berpuas hati kerana mereka mendakwa tiada manfaat yang diterima oleh ahli bawahan apabila parti itu bersama PN sebaliknya hanya menguntungkan pucuk pimpinan tertinggi sahaja.