Dua tokan ditahan, dadah bernilai RM9.5 juta dirampas

Sahabudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 245 bungkusan dadah yang dirampas daripada sindiket penyeludupan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Georgetown pada Isnin.
Sahabudin (tengah) bersama pegawainya menunjukkan 245 bungkusan dadah yang dirampas daripada sindiket penyeludupan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Georgetown pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN- Sebuah sindiket penyeludupan dadah di negara jiran tumpas apabila tokan dadah dari Acheh, Indonesia bersama empat rakannya dicekup polis pada 17 Februari lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan Pasukan Polis Marin Wilayah 1 ketika membuat rondaan dalam Op Benteng Covid pada jam 6.30 petang.

Ketika ditahan, suspek yang juga dalang sindiket di Acheh itu berada di dalam sebuah bot fiber tidak bernombor bersama seorang rakannya yang juga dari Acheh berusia 29 tahun di perairan Teluk Tempoyak.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri menyebabkan mereka ditahan dan diserahkan kepada Unit Risikan Marin untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil soal siasat kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh itu membawa kepada pendedahan lokasi sebuah pondok nelayan tidak bernombor dan jeti haram di tebing Sungai Keluang, Bayan Lepas, dipercayai dijadikan tempat menyimpan bekalan dadah.

"Serbuan di lokasi tersebut dilakukan pada jam 4 pagi, 18 Februari dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 55 tahun yang juga seorang penganggur.

"Hasil pemeriksaan pada sebuah bot fiber yang diikat pada jeti pondok menemui 130 bungkusan plastik keemasan dipercayai mengandungi syabu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Tambahnya, pemeriksaan seterusnya dilakukan pada sebuah kereta Mazda yang diletakkan di hadapan pondok dan menemui 115 bungkusan plastik keemasan mengandungi syabu.

Artikel Berkaitan:

Sahabudin menunjukkan dadah yang disorok dalam sebuah kereta yang dirampas di sebuah pondok nelayan di tebing Sungai Keluang, Bayan Lepas pada 18 Februari lalu.
Sahabudin menunjukkan dadah yang disorok dalam sebuah kereta yang dirampas di sebuah pondok nelayan di tebing Sungai Keluang, Bayan Lepas pada 18 Februari lalu.

"Kesemua dadah itu diletakkan di antara ruang tempat duduk belakang kereta dan but yang diubah suai. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 245 bungkusan seberat 263.7 kilogram (kg).

"Hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek, kita berjaya menahan seorang nelayan berusia 58 tahun di sebuah rumah di Sungai Ara dan seorang pemilik bengkel membaiki bot berusia 57 tahun di bengkelnya di Juru," katanya.

Sahabudin berkata, nelayan tersebut merupakan dalang sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang dan mengadakan urusan jual beli dadah dengan suspek Indonesia tersebut melalui laluan laut.

"Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM9.5 juta. Turut disita adalah empat buah kereta, wang tunai berjumlah RM30,950 dan barang kemas bernilai RM52,000.

"Kesemua nilai dadah yang dirampas bersama barang sitaan bernilai RM9.7 juta. Siasatan awal mendapati, sindiket ini aktif sejak Disember tahun lalu yang mana, bekalan dadah diperoleh dari Thailand," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang dijadikan pusat transit dadah sebelum ia diseludup masuk ke Acheh, Indonesia.

"Siasatan awal mendapati, dua lelaki Indonesia masuk ke negara ini semata-mata untuk mengambil bekalan dadah. Hasil ujian saringan air kencing terhadap dua suspek Indonesia dan pemilik bengkel mendapati negatif dadah manakala dua warga tempatan positif.

"Dua lelaki Indonesia dan penganggur direman tujuh hari manakala dalang sindiket dan pemilik bengkel direman sehingga Selasa. Kesemua suspek sudah berkahwin," katanya.

Jelasnya, lelaki yang ditahan pondok nelayan mempunyai 11 rekod jenayah manakala dalang sindiket mempunyai dua rekod dan pemilik bengkel dengan satu rekod.

"Kesemua dadah yang dirampas mampu dibekalkan kepada 1.32 juta penagih.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.