Sultan Perak perkenan maahad tahfiz dibuka 1 Mac

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perkenan membenarkan maahad tahfiz seluruh negeri beroperasi semula pada 1 Mac ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, perkara itu diperkenankan baginda selepas mendapat sembah nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak.

Menurutnya, setiap maahad tahfiz perlu mematuhi peraturan ditetapkan antaranya bilangan maksimum pelajar yang dibenarkan, terhad kepada kapasiti ruang asrama dan sekolah dengan mematuhi jarak fizikal yang diwajibkan, tertakluk kepada kelulusan JAIPk.

"Ruang belajar, ruang hafazan, ruang solat dan ruang asrama wajib mematuhi jarak fizikal. Pelajar hanya dibenarkan mengguna bahagian bawah katil dua tingkat dalam asrama yang menyediakan katil dua tingkat.

“Ibu bapa atau penjaga dibenarkan menghantar pelajar sehingga ke pintu pagar sahaja dan bagi meminimumkan pendedahan dan risiko, ibu bapa atau penjaga buat sementara waktu tidak dibenarkan mengadakan sebarang lawatan menziarahi pelajar.

“Kebenaran membolehkan ibu bapa atau penjaga menziarahi pelajar akan dimaklumkan apabila pihak berkuasa yang berkaitan berpuas hati penularan wabak berjaya dikawal dan angka jangkitan harian telah menurun,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Annuar berkata, pengurusan maahad tahfiz hendaklah menjadualkan waktu pendaftaran pelajar dalam tempoh masa yang lebih panjang dan ibu-bapa atau penjaga dijemput hadir mengikut jadual secara berperingkat.

"Semua barang yang dibawa dari rumah serta apa-apa juga barang yang dibawa dari luar, wajib disanitasi sebelum dibenarkan dibawa masuk ke dalam kawasan maahad tahfiz.

Artikel Berkaitan:

“Pengurusan maahad tahfiz wajib melakukan sanitasi premis sekolah dan asrama secara keseluruhan yang memenuhi piawaian yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan atau pihak berkuasa yang berkaitan sebelum menerima pelajar melaporkan diri,” katanya.

Menurutnya, setiap pelajar wajib menggunakan peralatan makanan sendiri yang tidak dikongsi dengan pelajar lain manakala pembekal barang kantin dan asrama serta pembekal peralatan tidak dibenarkan masuk ke kawasan maahad tahfiz.

"Kawalan dan pemantauan kesihatan yang tegas hendaklah dipatuhi oleh guru dan staf yang keluar masuk kawasan maahad tahfiz.

"Semua petugas di maahad tahfiz hendaklah dihadkan kepada warga negara dan penduduk tetap negara dan pengurusan tahfiz hendaklah memeriksa dan memastikan para petugas tinggal dalam rumah dan persekitaran yang tidak menimbulkan keraguan daripada segi piawaian kesihatan," katanya.

Mohd Annuar berkata, JAIPk dengan kerjasama Jabatan Kesihatan akan memperkenalkan mekanisme kawalan dan pemantauan untuk meminimumkan risiko jangkitan dalam kalangan warga maahad tahfiz.

Katanya, baginda menegaskan bahawa JAIPk tidak sama sekali berkompromi dalam menentukan pematuhan piawaian keselamatan kesihatan dalam kalangan warga maahad tahfiz.

“Pelajar hendaklah pada setiap masa diberikan lindungan maksimum dan jangan sama sekali didedahkan kepada risiko keselamatan kesihatan.

“Pengarah JAIPk diberikan kuasa budi bicara boleh mengarahkan penutupan mana-mana maahad tahfiz yang gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.