Dua wanita antara 39 ditahan dalam Op Sarang Khas

Sulizmie Affendy menunjukkan heroin yang dirampas daripada suspek susulan Op Sarang Khas yang dilaksanakan pada Khamis lalu.
Sulizmie Affendy menunjukkan heroin yang dirampas daripada suspek susulan Op Sarang Khas yang dilaksanakan pada Khamis lalu.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Seramai 39 individu termasuk dua wanita ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah melalui Op Sarang Khas di Daerah Muallim, di sini.

Operasi selama dua hari bermula Khamis lalu dilakukan 42 pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, 15 serbuan dilakukan dengan penumpuan di beberapa lokasi sekitar Slim River, Behrang, Tanjung Malim, Felda Trolak dan Felda Besout.

“Serbuan membawa kepada penahanan kesemua suspek berusia antara 27 hingga 54 tahun terdiri daripada penganggur dan buruh kasar.

“Daripada jumlah itu, lima suspek dipercayai ‘tokan’ dadah dan selebihnya ditangkap atas kesalahan memiliki dan menagih dadah,” katanya pada sidang akhbar di IPD Muallim, di sini pada Isnin.

Menurutnya, polis merampas dadah jenis methamphetamine seberat 249 gram dan heroin sebanyak 41.5 gram dengan nilai keseluruhan RM26,353.45.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang mempunyai rekod lampau dalam kesalahan jenayah memperoleh bahan terlarang itu dari luar daerah Muallim dipercayai dibawa menerusi jalan tikus.

“Seramai 10 suspek berpotensi untuk dituduh di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang merupakan penagih tegar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sulizmie Affendy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama serta Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

Katanya, operasi dan tindakan susulan diteruskan bagi membanteras aktiviti dadah, sekali gus berusaha mengenal pasti pembekal dadah.