X

Kindly register in order to view this article
!

Bayi derita otak di luar tempurung kepala

Fatin Hazlin Dahlia bersama bayinya,Sayyid Uwais Al-Qarni ketika ditemui Sinar Harian di kediaman di Jalan Lorong Padang Baloh, Kampung Batu Hampar, Manir di Kuala Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Usianya baharu mencecah 38 hari namun penderitaan dialami tidak tertanggung setelah disahkan mengalami penyakit 'myelomeningocele with encephalocoele' (sakit saraf) dan kedudukan otak di luar tempurung kepala.

Lebih memilukan, Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd Lekman telah menjalani pembedahan pada bahagian saraf tunjang seawal usia tujuh hari selepas dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 13 Januari lalu.

Ibunya, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, bayi yang dilahirkan dengan berat 2.48 kilogram (kg) itu turut mengalami lumpuh pada bahagian pinggang hingga ke kaki malah kaki sebelah kiri tidak berupaya digerakkan.

"Seawal usia tujuh hari, bayi saya telah dibedah pada bahagian tulang belakang untuk memperbetulkan kedudukan saraf tunjang.

"Saya kini berulang alik ke hospital dua minggu sekali bagi rawatan susulan untuk proses pembedahan memasukkan kembali bahagian otak ke dalam tempurung kepala," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jalan Lorong Padang Baloh, Kampung Batu Hampar, Manir di sini pada Ahad.

Menurut Fatin Hazlin Dahlia, masalah kesihatan anaknya telah dikesan sejak hamil namun beliau tidak sanggup untuk menggugurkan kandungannya itu.

Fatin Hazlin Dahlia (kanan) dibantu afiknya, Nurul Qistina untuk menjaga bayinya ketika ditemui Sinar Harian, lewat petang pada Ahad.
Fatin Hazlin Dahlia (kanan) dibantu afiknya, Nurul Qistina untuk menjaga bayinya ketika ditemui Sinar Harian, lewat petang pada Ahad.

"Saya tidak kuat untuk menjalani prosedur menggugurkan kandungan setelah doktor memaklumkan perkara ini. Saya nekad untuk teruskan kehamilan dan melahirkan Sayyid Uwais Al-Qarni.

"Walaupun proses pembedahan nanti agak berisiko, saya berserah kepada ALLAH SWT agar ia berjalan lancar dan anak saya dapat membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain," katanya.

Fatin Hazlin Dahlia yang kini berpantang di kediaman keluarganya mempunyai dua lagi anak iaitu Sayyid Luthfi, 6 dan Nur Qaireen Luthfia, 4.

Katanya, beliau turut dibantu ibunya, Sharifah Suzi Suriani S. Anuar, 52; adiknya, Nurul Qistina, 18 serta bapanya, Mazlam Mohd Noor, 56 untuk menjaga bayinya yang kini mencecah berat 3.01kg.

"Dua minggu sekali saya perlu menukar tiub makanan yang dipasang hingga ke bahagian perut dan membersihkan luka pembedahannya tiga kali sehari.

"Bayi saya juga perlu diberikan susu melalui tiub yang dipasang tiga jam sekali," katanya.

Fatin Hazlin Dahlia tidak bekerja manakala suaminya, Mohd Lekman Zakaria, 35 melakukan kerja kampung dengan purata pendapatan bulanan tidak menentu.

Mereka yang ingin membantu bagi meringankan bebanan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui Bank Simpanan National ( BSN ) di nombor akaun 1100141100012525 atau menghubungi Fatin Hazlin Dahlia menerusi talian 01163727869 atau 0116 3727 869.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!