PDRM kaji SOP Talian Nur

A
A

SEMENYIH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) Talian Nur dalam usaha menangani kes kehilangan kanak-kanak di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, perkara itu penting kerana polis memandang serius kes kehilangan bukan sahaja membabitkan kanak-kanak, tetapi remaja dan orang tua.

Menurutnya, terdapat aduan kes kehilangan bukan sahaja membabitkan rakyat Malaysia tapi juga rakyat dari luar.

"Kes kehilangan ini memang kita selalu ingatkan dan ambil berat. Tidak sama sekali dipandang remeh.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak dibunuh kejam, organ dalaman hilang

“Jadi, polis akan mengkaji semula SOP Talian Nur kerana setiap laporan membabitkan kehilangan kanak-kanak dan warga tua akan ditangani dengan lebih serius,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program lawatan kerja Menteri Dalam Negeri di Kem Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bahawa Talian Nur tidak diaktifkan pada 30 Januari lalu selepas polis menerima laporan kehilangan kanak-kanak malang, Siti Masyitah Ibrahim, 11 yang dibunuh kejam di Pekan, Pahang.

Selain itu, Noor Rashid menegaskan kes terbabit tidak mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan organ.

“Ketua Polis Pahang sudah mengeluarkan kenyataan dan saya ingin sekali lagi menegaskan kes ini tiada kena mengena dengan kes penjualan organ, sebaliknya bermotifkan dendam,” katanya.

Sabtu lalu, mangsa ditemui maut dalam keadaan tragis dengan kepalanya terpisah daripada badan, tangan dan kaki diikat serta beberapa organ dalaman didakwa tidak dijumpai, di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Pahang.

Dalam perkembangan lain, seramai 1,115 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan 385 bantuan sumber luar bertugas pada PRK Dun Semenyih pada 2 Mac depan.

"Ia adalah untuk memastikan kesiapsiagaan fizikal, emosi dan rohani sepanjang proses PRK berkenaan berlangsung. Sebanyak tiga ‘Public Order Riot Unit’ dan lima platun infantri dari Briged Tengah PGA siap sedia diatur gerak berhadapan sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam," katanya.