X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Lelaki, tunang dicekup tanam syabu belakang rumah

Ming Kung (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai jenis dadah bernilai lebih setengah juta yang dirampas ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang pada Isnin.
A
A

MARANG - Seorang lelaki bersama tunangnya bertindak menanam dadah jenis syabu dalam empat lubang di belakang rumah sewanya di Kampung Jambu Bongkok, Merchang di sini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, perbuatan itu berjaya dikesan apabila kedua-duanya ditahan sepasukan polis bersama pelbagai jenis dadah seperti syabu, heroin, pil kuda dan ubat batuk bernilai lebih RM565,000 dalam satu serbuan pada Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu, Tium Ming Kung berkata, kegiatan suspek berusia 22 tahun itu terbongkar selepas dia ditangkap pasukan siasatan jenayah narkotik daerah Dungun di tepi jalan berhampiran rumahnya di Merchang pada jam 1 pagi.

"Hasil pemeriksaan di rumah suspek yang tinggal bersama tunangnya berusia 21 tahun, kita menemui dadah disimpan di dalam rumah, manakala syabu pula ditanam dalam lubang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Marang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, selain merampas syabu seberat 2,051 gram, 1,096 gram heroin dan 899 biji kuda, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM40,000 serta beberapa utas jam tangan mewah, kereta Suzuki Swift dan sebuah motosikal milik suspek.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja dan mempunyai tujuh rekod jenayah pecah rumah dan dadah dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak akhir tahun lalu, manakala bekalan dadah diperoleh daripada negeri jiran.

Katanya, dadah berkenaan antara rampasan terbesar tahun ini dan dipercayai dapat memenuhi permintaan lebih 24,000 penagih di seluruh Terengganu.

"Suspek bersama tunangnya baru sebulan menyewa rumah itu. Mereka dipercayai cuba menutup kehidupan mewah hasil jualan dadah dengan tinggal di rumah biasa.

"Kedua-duanya kini direman selama tujuh hari sehingga 26 Februari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana mengedar dadah," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!