X

Kindly register in order to view this article
!

Hakim tegur Zahid gagal hadir prosiding kali ketiga

Ahmad Zahid
A
A

KUALA LUMPUR - Hakim Collin Lawrence Sequerah pada Isnin menegur pihak pembelaan apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal hadir di Mahkamah Tinggi di sini buat kali ketiga berhubung kes rasuah yang dihadapinya.

Sequerah berkata demikian selepas pasukan pembelaan yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memohon untuk menangguhkan prosiding mahkamah.

Ia berikutan Ahmad Zahid yang merupakan anak guamnya menjadi kontak rapat kepada Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd Aziz yang didapati positif Covid-19 ketika hadir ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Janda Baik, Pahang pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua UMNO Hulu Langat positif Covid-19

Ketika perbicaraan kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang sepatutnya bersambung pada Isnin, Sequerah berkata, pasukan pembelaan perlu menasihatkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu supaya mengutamakan prosiding kes berbanding perkara lain.

"Prosiding mahkamah adalah penting dan wajib untuk Ahmad Zahid menghadiri perbicaraan kesnya di sini.

"Tarikh perbicaraan ditetapkan lebih awal tetapi disebabkan perkara ini, ia menyebabkan banyak perkara terganggu, sekali gus membazir masa mahkamah," katanya.

Beberapa minit selepas prosiding bermula, suasana mahkamah bertukar tegang Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid melakukan rentas negeri ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya pelik, adakah mesyuarat di Janda Baik mendapat kebenaran daripada pihak polis.

"Berdasarkan rekod, ini merupakan kali ketiga kes ini terpaksa ditangguhkan atas alasan sama. Jadi, apa yang saya lihat ketika ini seolah-olah kes di mahkamah tidak penting bagi beliau," katanya.

Selepas prosiding ditangguhkan kira-kira 30 minit, peguam pembela Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh mengemukakan surat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengecualikan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada sekatan rentas negeri.

"Di sini saya sertakan surat pekeliling daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang memaklumkan mengenai mesyuarat MKT di Janda Baik," katanya.

Mahkamah kemudian menerima kedua-dua surat berkenaan dan menetapkan 4 Mac depan untuk perbicaraan kes tersebut.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!