X

Kindly register in order to view this article
!

Menteri Dalam Negeri Libya nyaris kena bunuh

Menteri Dalam Negeri Libya, Fathi Bashagha. - Foto AFP
A
A

TRIPOLI - Menteri Dalam Negeri Libya, Fathi Bashagha terselamat dalam percubaan bunuh pada Ahad apabila satu konvoi kenderaannya ditembak dekat bandar raya Tripoli, kata seorang pembantunya.

Seorang anggota yang rapat dengannya berkata, sebuah trak berperisai melepaskan tembakan ke arah konvoi kenderaannya yang sedang melalui sebuah lebuh raya berhampiran Tripoli iaitu pusat pemerintahan Kerajaan Permuafakatan Kebangsaan (GNA).

"Pasukan pengiring polisnya kemudian membalas tembakan. Dua daripada penyerangnya ditangkap," kata sumber tersebut.

Seorang lagi penyerang yang dikenali sebagai Radwan al-Hangari kemudian meninggal dunia di sebuah hospital, menurut sumber yang sama.

Tambahnya, ketiga-tiga penyerang itu datang dari Zawiya iaitu kira-kira 50 kilometer ke barat Tripoli.

Seorang wartawan AFP mendengar satu bunyi tembakan pada jam kira-kira 3 pagi di sebatang jalan raya tepi pantai dekat Jazur di pinggir Tripoli.

Seorang pegawai Kementerian Dalam Negeri mengesahkan bahawa Bashagha tidak cedera dalam kejadian tersebut.

Dalam satu kenyataan, pihak kementerian berkata, beliau menjadi sasaran dalam satu percubaan bunuh ketika meninggalkan kediamannya di Janzur.

Menurutnya, para penyerang itu menggunakan sebuah trak berperisai yang dilengkapi dengan mesingan.

Pasukan keselamatan kemudian bertindak balas dan menangkap militan tersebut

Seorang pengawal cedera dalam kejadian itu, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Bashagha merupakan tokoh penting dalam politik Libya dan menjuarai kempen antirasuah.

Beliau sebelum ini meningkatkan usaha-usaha dalam tempoh beberapa bulan untuk menyerapkan anggota-anggota bersenjata ke dalam pasukan keselamatan negara. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!