United terus beri tekanan kepada City

United terus menghimpit pendahulu liga, Manchester City selepas melakar kemenangan ke atas Newcastle United 3-1 awal pagi Isnin.
United terus menghimpit pendahulu liga, Manchester City selepas melakar kemenangan ke atas Newcastle United 3-1 awal pagi Isnin.
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengharapkan para pemainnya dapat meneruskan momentum cemerlang selepas menundukkan Newcastle United 3-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford awal pagi Isnin.

Menurutnya, rentak kemenangan tersebut seharusnya diteruskan, sekali gus memastikan The Red Devils mampu untuk memberikan cabaran kepada seteru setempat, Manchester City dalam pemburuan kejuaraan EPL.

"Saya tidak akan pernah berkata ia sudah selesai sehingga ia betul-betul selesai. Kami telah melihat banyak contoh pasukan turun naik dalam saingan liga ini. Kami harus terus konsisten dan memikirkan mengenai prestasi kami.

"Kami memiliki banyak lagi perlawanan dan sudah tentu perlu meningkat setiap masa. Untuk membina momentum bermain dengan baik adalah sangat penting. Kami gagal beraksi baik ketika menentang West Brom dan Sheffield United sehingga tercicir mata.

"Namun, kami sudah kembali bangkit ketika ini, pulih daripada segi mental dan fizikal dan bersedia terus mencabar kejuaraan EPL," katanya.

Dalam perlawanan itu, Marcus Rashford membuka tirai jaringan buat United pada minit ke-30 sebelum disamakan Allan Saint Maximin pada minit ke-36.

Daniel James kembali meletakkan United di hadapan menerusi gol pada minit ke-57 dan Bruno Fernandes, melengkapkan kemenangan dengan penalti pada minit ke-75.

Kemenangan itu sekali gus meletakkan United di kedudukan kedua EPL dibezakan 10 mata dengan pendahulu liga, Manchester City.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, Solskjaer mengakui pasukannya tidak beraksi pada tahap terbaik dengan Newcastle berjaya mengasak dan menjaringkan gol.

"Babak pertama kami tidak beraksi dengan baik selepas menjaringkan gol pertama sehingga Newcastle berjaya menyamakan kedudukan. Separuh masa kedua kami menukar sedikit corak permainan.

"Akhirnya, kami berjaya mencari dua gol pada separuh masa kedua. Namun, secara keseluruhan ini bukan persembahan terbaik kami," katanya.