SASET tanam 25,000 pokok di Tasik Bera

Tengku Fahd ( hadapan, dua kanan ) bersama Norol (tiga, kanan) dalam perasmian program tersebut hari ini.
A
A

BERA - Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET) terus memainkan peranan dalam program pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar di negeri ini.

Antaranya menerusi program Go Green di tapak Hutan Simpan Lembap Berkepentingan Antarabangsa (RAMSAR) Tasik Bera yang telah bermula sejak Sabtu lalu dan berakhir hari ini.

Dalam program Fasa Kedua tahun ini,sebanyak 25,000 anak pokok pelbagai spesies antaranya meranti, merawan siput jantan ditanam di tanah keluasan 25 hektar sempena program tersebut

Dan simbolik perasmian disempurnakan Pengerusi SASET, Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Muadzam Shah yang turut menanam pokok ke-25,000.

Lebih 400 sukarelawan antaranya kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), agensi kerajaan, pelajar sekolah, insitusi pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, pasukan futsal Kuantan Rangers, penduduk setempat dan masyarakat Orang Asli turun padang menanam pokok di tapak berkenaan.

Sementara itu, Tengku Fahd berkata, fasa pertama September tahun lalu pihaknya menanam sebanyak 5,000 pelbagai spesies pokok hutan ditanam tapak berkenaan membabitkan kawasan seluas 4.5 hektar.

Ujarnya, SASET akan terus menganjurkan program menanam pokok dengan kerjasama Jabatan Perhutanan negeri dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) secara berterusan.

"Usaha menjaga alam sekitar perlu dilakukan secara berterusan dalam memastikan kawasan hutan RAMSAR di negeri ini terus terpelihara dan kekal untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Hadir sama Exco Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi,Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, ADUN Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman, ADUN Triang,Leong Yu Man dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi.

"Kira akan terus memantau dan menyasarkan 80 peratus kejayaan menerusi projek ini,"ujarnya.

Sementara itu Samsu Anuar berkata, pihaknya akan terus memberi kerjasama kepada SASET dalam menjayakan aktiviti menanam pokok di negeri ini.

"Pengalaman dan kepakaran dimiliki jabatan mampu menjayakan usaha SASET untuk menghijaukan semula kawasan hutan simpan yang diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya yakin kerjasama kita dengan NGO berkenaan dapat memulihkan kawasan hutan simpan untuk kebaikan bersama," katanya lagi.

Dipercayai kira-kira 35 hektar di kawasan itu musnah akibat penerokaan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.