17 pemborong LPG dikenakan tindakan

Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa LPG yang dijual pemborong. Foto: KPDNHEP
Penguatkuasa KPDNHEP memeriksa LPG yang dijual pemborong. Foto: KPDNHEP
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sikap sambil lewa 17 pemborong Gas Petroleum Cecair (LPG) yang tidak menyelenggara buku stok barang kawalan mengundang padah apabila mereka dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, kesalahan dilakukan pemborong dari Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Dungun itu dikesan melalui operasi dijalankan agensi itu pada 18 hingga 21 Februari lalu.

Menurutnya, siasatan dan pemeriksaan awal mendapati kesemua pemborong tersebut tidak merekod butiran penjualan dan pembelian seperti tarikh, kuantiti, harga, nama dan alamat pembeli serta pembekal dengan lengkap mengikut Peraturan 13 (1) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di salah sebuah pemborong LPG. Foto : KPDNHEP
Penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemeriksaan di salah sebuah pemborong LPG. Foto : KPDNHEP

"Pemborong ini melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974, jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita juga menyita buku stok dan invois jualan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Saharuddin turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi penetapan harga jualan runcit LPG iaitu RM19 bagi silinder 10kilogram (kg), RM22.80 bagi silinder 12kg dan RM26.60 bagi silinder 14kg.

Menurut beliau, KPDNHEP sentiasa memandang serius isu barangan kawalan bagi mengelak ia diseleweng hingga mengakibatkan gangguan bekalan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, para peniaga terutamanya membabitkan barangan kawalan diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan semasa.

"Kita juga mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan," katanya.