Ketirisan RM3.1 juta: Tujuh petugas kaunter JPJ direman

Kakitangan JPJ Johor direman tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan ketirisan RM3.1juta.
Kakitangan JPJ Johor direman tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan ketirisan RM3.1juta.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor direman tujuh hari bermula pada Isnin bagi membantu siasatan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor membabitkan nilai mencecah RM3.1 juta.

Perintah reman sehingga 28 Februari itu dikeluarkan Majistret, Normadiana Mamat terhadap kesemua suspek yang berusia 27 hingga 42 tahun itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan itu pagi ini.

Kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada Ahad, SPRM Johor dilaporkan menahan tujuh petugas JPJ Johor bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan urusan cukai jalan LKM yang dipercayai hasil perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan berkenaan dengan menceroboh sistem JPJ.

Kesemua kakitangan berkenaan dilaporkan ditahan antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari semalam.

Mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Negeri Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang berada di Johor Bahru pada Ahad bagi menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor dilaporkan mengesahkan tangkapan terbabit.

Artikel Berkaitan: