Menara Kuantan 188, rancakkan pelancongan di Pahang

Menara Kuantan 188 akan merancakkan sektor pelancongan di Pahang khususnya di Bandaraya Kuantan.
Menara Kuantan 188 akan merancakkan sektor pelancongan di Pahang khususnya di Bandaraya Kuantan.
A
A
A

KUANTAN - Pembukaan Menara Kuantan 188 akan merancakkan lagi sektor pelancongan di Pahang khususnya di sekitar Bandaraya Kuantan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia juga memberi kesan positif dan limpahan kepada lokasi-lokasi berhampiran untuk menjadi tarikan pelancongan.

"Saya lihat pembukaan Menara Kuantan 188 ini juga akan memberi kesan kepada tempat-tempat lain seperti Taman Kerang Kuantan, Taman Esplanade Kuantan dan Taman Zoo Mini Teruntum yang terletak tidak jauh dari menara ini.

"Pembukaan menara ini juga dapat memperkukuhkan lagi Kuantan Waterfront sebagai kawasan tarikan utama di bandaraya ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra pada Ahad malam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang berkenaan merasmikan Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra secara maya.

Wan Rosdy (dua kanan) mengiring Tengku Hassanal selepas berucap pada majlis perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra pada Ahad malam.
Wan Rosdy (dua kanan) mengiring Tengku Hassanal selepas berucap pada majlis perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra pada Ahad malam.

Hadir sama sama, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof.

Wan Rosdy berkata, inisiatif pembangunan ini dijangka dapat melengkapkan lagi usaha Majlis Bandaraya Kuantan untuk menghidupkan semula Kuantan Waterfront, serta Kuantan River Cruise termasuk kawasan-kawasan sekitarnya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) juga telah diarahkan supaya mewujudkan jejak sejarah di sepanjang laluan Kuantan Esplanade.

“Bagi memaksimumkan potensi pelancongan Bandaraya Kuantan, dan Kerajaan Pahang telah mengarahkan MBK supaya mewujudkan jejak sejarah atau di sepanjang Kuantan Esplanade yang bakal mempamerkan warisan budaya negeri bagi tatapan pengunjung,” katanya.

Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, menara tersebut merupakan salah satu daripada projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Negeri Pahang (ECERDC).

“Setelah siap projek ini, ia diserahkan kepada kerajaan Pahang pada tahun lalu bagi tujuan operasi dan pastinya kita komited bagi menjadikannya sebagai tarikan utama di Bandaraya Kuantan dan Pahang amnya,” katanya.