X

Kindly register in order to view this article
!

Arab Saudi rekrut wanita sertai tentera

Gambar hiasan - Foto Arab News
A
A

JEDDAH - Kaum wanita di Arab Saudi kini sudah boleh berkhidmat dengan angkatan bersenjata di negara itu.

Ia susulan pengumuman Kementerian Pertahanan Saudi yang membuka peluang kepada kedua-dua jantina iaitu lelaki dan wanita untuk mendaftar sebagai anggota tentera menerusi satu portal bermula Ahad, lapor Arab News.

Semua pemohon harus lulus syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan dan memiliki rekod bersih, sihat untuk berkhidmat.

Bagaimanapun, kriteria tambahan dikenakan bagi pemohon wanita dan mereka perlu berusia antara 21 hingga 40 tahun, mempunyai ketinggian tidak kurang dari 155 sentimeter dan bukan kakitangan kerajaan.

"Pemohon wanita juga harus memegang kad pengenalan nasional bebas dan mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan pendidikan sekolah menengah.

"Mereka yang berkahwin dengan lelaki bukan rakyat Saudi tidak akan diterima," menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut, lingkungan usia bagi pemohon lelaki adalah antara usia 17 hingga 40 tahun dan ketinggiannya hendaklah tidak kurang 160 sentimeter.

Pakar sistem operasi, Halal Al-Ynabawi, berkata, kontroversi membabitkan wanita Arab menyertai tentera sudah berlarutan sejak 30 tahun lalu.

"Namun hari ini visi Raja Salman memainkan peranan besar membenarkan kaum wanita sertai bidang kerajaan dan terkini tentera," katanya.

Seorang pakar IT, Rahma Al-Khayri pula menyatakan pandangan secara peribadi terhadap isu tersebut.

"Pandangan saya secara peribadi, amat penting bagi wanita menyertai pasukan tentera, di mana mereka boleh memainkan peranan aktif dalam masyarakat konservatif ini.

"Sepanjang sejarah, kita tidak pernah mendengar tentang wanita yang keluar bertempur.

"Kita sering mendengar tentang wanita merawat pesakit atau mungkin mengawasi bekalan dalam pentadbiran dan unit-unit kawalan. Lelaki sahaja (sebelum ini) yang keluar untuk berperang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!