X

Kindly register in order to view this article
!

Gema ayat suci al-Quran, iringi langkah calon SPM

Calon peperiksaan SPM 2020 SMK Munshu Abdullah kelihatan ceria ketika melangkah masuk ke sekolah sebelum menduduki peperiksaan SPM di sini, pada isnin. Gambar kanan: Seorang calon SPM SMK Munshi Abdullah dipeluk bapanyaa dan diberikan kata-kata semangat.
A
A

MELAKA - Bacaan doa, alunan ayat suci al-Quran serta kata-kata semangat terakhir daripada guru mengiringi langkah 357 calon sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam masuk ke dewan peperiksaan.

Meskipun tiada lagi solat hajat seperti tahun-tahun sebelumnya, namun calon kelihatan ceria dan beratur dengan mengamalkan penjarakan fizikal untuk mengisi borang deklarasi Covid-19 serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum menduduki peperiksaan dalam normal baharu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati guru dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) yang terdiri daripada polis memantau perjalanan masuk pelajar selain mereka juga dikehendaki mengimbas suhu badan sebelum dibenarkan menjawab soalan kertas pertama iaitu Bahasa Melayu yang bermula pada jam 8.15 pagi.

Seorang bapa, Amir Omar, 43, berkata, dia sanggup mengambil cuti pada hari pertama anak sulungnya itu menduduki peperiksaan penting ini dan reda anaknya terpaksa mengambil peperiksaan dalam suasana yang berlainan berbanding SPM tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, sebagai bapa dia reda dengan apa yang berlaku dan pandemik ini memang tidak pernah dijangka bagaimanapun dia sentiasa memberikan semangat kepada anaknya agar tidak tertekan.

"Dulu sebelum pelajar masuk ke dewan peperiksaan, pihak sekolah anjurkan solat hajat dan bacaan Yasin, namun pandemik ini kita tak boleh melakukannya dan sebagai ibu bapa saya reda.

"Tak kira kat mana pun kita buat solat hajat, saya sentiasa mendoakan anak sulung saya dari empat beradik ini dan dipermudahkan menjawab soalan.

"Selain itu saya juga membaca potongan ayat surah Ar Rahman serta Surah al Insyirah dan dititipkan ke dahi anak," katanya ketika ditemui di luar SMK Munshi Abdullah di sini, pada Isnin.

Amir yang juga bekerja sebagai juruteknik kilang berkata, dia meletakkan harapan tinggi agar anaknya, Fatin Maisarah Amir, 18, dapat menempuh cabaran itu dan situasi yang dilalui anaknya ketika pandemik ini merupakan sentuhan semangat kepada adik-adiknya yang lain untuk terus berusaha gigih dalam pelajaran.

"Paling penting kita jangan berikan tekanan kepada anak-anak dan anggap ujian peperiksaan dunia ini asbab untuk kita menempuh peperiksaan lebih besar.

" Saya juga berterima kasih kepada guru-guru, kementerian dan pihak sekolah yang banyak membantu calon peperiksaan SPM 2020," katanya.

Di Melaka seramai 13,464 calon SPM daripada 74 buah sekolah di negeri ini yang menduduki peperiksaan pada Isnin dengan membabitkan seramai 1,312 petugas.

ARTIKEL BERKAITAN 401,105 calon duduki peperiksaan SPM dalam norma baharu


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!