Pembantu kedai rokok terlepas hukuman gantung edar dadah

Kompleks Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi Kuala Terengganu.
Kompleks Mahkamah Majistret, Sesyen dan Tinggi Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pembantu kedai rokok terlepas hukuman gantung sampai mati selepas pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menawarkan pertuduhan pilihan daripada mengedar kepada memiliki dadah jenis methamphetamine dalam kejadian tahun lalu,

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menggugurkan pertuduhan asal mengedar dadah terhadap tertuduh, Muhammad Sulaiman Abdul Rahim, 22.

Ia setelah pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara menerima permohonan representasi yang difailkan tertuduh menerusi peguamnya, Fathi Aziz memohon pindaan pertuduhan kepada lebih ringan.

Mahkamah seterusnya menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan terhadap tertuduh selepas mengaku salah bagi pertuduhan yang dipinda ke atasnya di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 21 Mei 2020.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 105.56 gram di tepi jalan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor di sini kira-kira jam 2.25 petang pada 21 Mei 2020.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah dan Amer Abu Bakar Abdullah.

Artikel Berkaitan: