Hari pertama SPM di Negeri Sembilan berjalan lancar

Calon SPM di SM Taman Semarak, Nilai mengimbas suhu sebelum dibenarkan masuk ke sekolah bagi menduduki peperiksaan SPM pada Isnin.
Calon SPM di SM Taman Semarak, Nilai mengimbas suhu sebelum dibenarkan masuk ke sekolah bagi menduduki peperiksaan SPM pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 16,554 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di Negeri Sembilan menduduki peperiksaan paling bersejarah dan mencabar pada Isnin setelah dua kali tertangguh.

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Menengah (SM) Taman Semarak, Nilai mendapati peperiksaan berjalan lancar, malah rata-rata pelajar sangat teruja setelah ia tertangguh sejak tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Suasana persekitaran sekolah juga kelihatan aman dan tenang dengan pemantuan dilakukan sendiri Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman bersama anggota polis di semua sekolah di sekitar Nilai yang terlibat dengan peperiksaan SPM.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata, peperiksaan yang bermula Isnin hingga 25 Mac ini diharap dapat berlangsung dengan baik dan lancar.

Beliau berkata, seramai 15,909 calon sekolah dan 645 calon SPM persendirian menduduki SPM di 144 pusat peperiksaan seluruh negeri ini yang akan dipantau seramai 1,515 pengawas peperiksaan termasuk seorang ketua pengawasan dan penyelia kawasan.

"Pada tahun ini, seramai tujuh calon SPM yang mengambil peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan, selebihnya di dewan peperiksaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau juga berharap kesemua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang selain menasihatkan calon supaya terus menjaga kesihatan sepanjang peperiksaan berlangsung.

Katanya, semua calon juga dinasihatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan petugas peperiksaan demi kepentingan bersama.

Artikel Berkaitan: