Tujuh maut pesawat tentera Nigeria terhempas

Pesawat tentera terhempas berdekatan ibu kota Nigeria pada Ahad mengorbankan tujuh nyawa. - Foto AFP
Pesawat tentera terhempas berdekatan ibu kota Nigeria pada Ahad mengorbankan tujuh nyawa. - Foto AFP
A
A
A

ABUJA - Tujuh maut apabila sebuah pesawat tentera terhempas berdekatan ibu kota Nigeria pada Ahad.

Menurut laporan AFP, jurucakap pasukan tentera udara Nigeria berkata, pesawat terbabit dijadual menjalankan misi pengawasan berkaitan operasi menyelamatkan puluhan orang diculik dari sebuah sekolah berhampiran Niger pada Rabu lalu.

Pihak berkuasa berkata, kumpulan lelaki bersenjata api yang hanya dikenali sebagai 'penyamun' membunuh seorang pelajar lelaki dan menculik 42 orang dalam kejadian berkenaan.

"Mangsa insiden penculikan besar-besaran terbaharu di Nigeria itu membabitkan seramai 27 pelajar dan tiga guru, selain saudara-mara kakitangan sekolah," menurut laporan itu.

Susulan itu, Presiden Muhammadu Buhari mengarahkan pasukan keselamatan untuk menyelamatkan mangsa culik terbabit, manakala tentera dan polis memaklumkan mereka sedang menjejaki kumpulan berkenaan.

Jurucakap, Ibikunle Daramola dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu dijadual menjalankan misi pengawasan di Niger dan kawasan sekitarnya berkait dengan usaha bersepadu untuk menyelamatkan pelajar serta kakitangan terbabit.

"Pesawat Tentera Udara Nigeria (NAF), Beechcraft KingAir B350i terhempas ketika dalam penerbangan kembali ke Lapangan Terbang Abuja selepas melaporkan masalah kerosakan enjin.

"Malangnya, kesemua tujuh orang yang menaiki pesawat itu terkorban dalam nahas berkenaan," kata Daramola.

Artikel Berkaitan:

Punca kejadian bagaimanapin belum dikenal pasti, namun pihak berkuasa memaklumkan bahawa juruterbang ada melaporkan berlaku masalah kerosakan pada enjin.

Pihak tentera berkata, siasatan sudah dilancarkan berhubung kemalangan itu.

Menteri Penerbangan Nigeria, Sirika Hadi turut mengesahkan insiden berkenaan.

"Kita harus kekal bertenang dan menunggu hasil siasatan oleh pihak tentera," katanya menerusi kenyataan di Twitter.