Bukan melukut di tepi gantang

Artikel bertajuk Prof Emeritus ibarat hiasan dinding yang disiarkan pada 14 Februari lalu.
Artikel bertajuk Prof Emeritus ibarat hiasan dinding yang disiarkan pada 14 Februari lalu.
A
A
A

DALAM reaksi masing-masing terhadap tulisan saya bertajuk 'Profesor Emeritus ibarat perhiasan dinding’, rakan-rakan Profesor Emeritus mempunyai pelbagai sikap dan cara. Ada yang sekadar forward artikel itu kepada umum tanpa kata iringan. Namun, kebanyakannya menyatakan 'bagus’ tanpa komen apa-apa.

Malah, ada juga antara mereka yang sekadar hantar ikon setuju. Semuanya menggunakan WhatsApp. Bila saya tanya kepada sesetengah daripada mereka, tak mahu komenkah? Ada yang memberi komen ringkas. Begitu pun ada juga satu dua orang terus memberi komen bagi menunjukkan keprihatinan mereka terhadap persoalan yang saya kemukakan.

Dari segi journalism, ternyata sekali tulisan saya itu tidak mengandungi unsur pemberitaan yang berharga. Masa muda-muda dulu, seorang pengajar memberi nasihat seperti ini: “Kalau yang ditulis itu tentang anjing gigit orang, ia bukan suatu tulisan yang ada nilai berita. Yang ada nilai beritanya adalah tulisan yang menceritakan tentang orang gigit anjing.”

Dulu saya tidak faham nasihat itu, malah menganggapnya remeh tetapi apabila semakin matang dan kemudiannya tua, saya menjadi semakin faham.

Maksudnya, pada pandangan majoriti besar rakan-rakan Prof Emeritus, apa yang berlaku itu tiada salahnya dan persekitaran yang menyebabkan perkara tersebut berlaku normal sahaja. Sebaliknya, jika tulisan itu menceritakan tentang kejayaan mana-mana Profesor Emeritus mendapat penghormatan tinggi daripada universiti asalnya dengan melantiknya kembali sebagai naib canselor, tentu sekali tulisan itu akan mendapat perhatian ramai. Maksudnya, ia berita besar. Sama seperti berita orang gigit anjing.

Salah seorang yang memberi komen menyatakan, sepatutnya Timbalan Naib Canselor (Akademik) cukup prihatin tentang perkara seperti itu. Malah katanya, terma rujukan tentang fungsi Profesor Emeritus di universiti berkenaan perlu disemak sekurang-kurangnya lima tahun sekali.

Saya tidak menjawab apa-apa terhadap cadangannya itu kerana itu bukan tanggungjawab saya. Apa yang sepatutnya, beliau membuat cadangan seperti itu kepada NCA universiti asalnya.

Mencadangkan semula kepada saya, reaktif namanya iaitu suatu sikap atau pendirian yang lemah, sedangkan seorang Profesor Emeritus seharusnya bersikap aktif, kalau pun tidak bersifat proaktif kerana pengiktirafan yang diberikan kepadanya itu sangat tinggi.

Artikel Berkaitan:

Dalam keadaan semua profesor lain perlu balik menjadi prebet semula iaitu dengan menggunakan gelaran Dr sahaja selepas jawatan profesornya di universiti tamat, Profesor Emeritus boleh terus menggunakan gelaran profesornya sepanjang hayat.

Dengan kata lain, seorang Profesor Emeritus perlu sentiasa aktif sekurang-kurangnya dalam bidangnya sendiri. Malah, lebih afdal lagi menjadi lebih versatile daripada sebelumnya.

Cuma, dalam sesetengah keadaan, saya berasa tidak adil berkata begitu. Bagaimana beliau boleh menjadi proaktif sedangkan beliau telah tidak aktif? Hakikatnya, sekarang ini beliau sama seperti potret yang tersangkut di dinding. Semuanya menggambarkan cerita hidupnya yang lama. Gaya duduk atau berdirinya gaya lama. Senyumnya senyum lama, malah warna rambut dan pakaiannya juga warna lama.

Penasihat

Sedangkan, maksud Profesor Emeritus yang sebenar adalah potret yang tersangkut di dinding itu meskipun potret lama tetapi ia masih menggambarkan cerita hidup hari ini yang sebenarnya. Kerana itulah, seorang Profesor Emeritus tidak disebut sebagai 'mantan profesor’, sebaliknya disebut 'profesor’ seperti dulu. Sementara perkataan Emeritus pula digunakan untuk menyatakan tentang ke-ulungannya sebagai orang yang berfungsi menjadi penasihat kepada profesor lain yang ada di universiti berkenaan atau di universiti lain.

Maka, kalau universiti asal tidak mampu atau tidak berhasrat meletakkan profesor seperti itu pada tempatnya yang sesuai di universiti masing-masing, dia berkewajiban mencari jalan sendiri untuk memenuhi maksud dan sifat sebagai seorang yang sentiasa bersifat semasa. Ibarat seorang panglima yang diberi gelaran tanpa jabatan. Kalau dia benar-benar seorang panglima, dia boleh menggunakan gelarannya itu untuk menyumbang kepahlawanannya di tempat lain.

Tidak menjadi masalah sama ada institusi di mana dia menjadi pahlawan itu sifatnya sebuah institusi rasmi atau bukan. Malah, menjadi panglima cangkul pun tidak mengapa asalkan reputasinya sebagai seorang akademik tetap maju ke depan.

Dalam sejarah Universiti Malaya (UM), pernah ada seorang profesor yang keprofesorannya terlekat pada nama 'kambing’. Ia terkenal sebagai 'Profesor Kambing’ sampai ke hujung hayatnya meskipun tidak dianugerah Emeritus oleh pihak universiti tempat dia pernah menyumbang bakti keilmuannya itu.

Sampai sekarang, legasinya masih ada di universiti itu dan diwarisi turun temurun. Maksudnya, beliau telah melahirkan seorang lagi 'Profesor Kambing’ yang saya namakan 'Profesor Kambing’ junior.

Kepahlawanan

Bagi saya sendiri, kalau sekadar untuk menjadikan keprofesoran saya sentiasa bersifat semasa tidaklah perlu saya menulis di ruangan ini. Anugerah yang saya terima sebagai seorang 'Emeritus’ sudah cukup untuk menjadi tanda di dahi bahawa saya seorang profesor dan bukan seorang 'mantan profesor’.

Meminjam 'ibarat’ atau 'metafora’ di atas, sebagai seorang panglima yang dianugerahkan gelarannya oleh UM, saya boleh menggunakan daya kepahlawanan yang ada dalam apa saja bidang yang saya mampu.

Kelebihannya, berbanding dengan 'mantan profesor’, saya ada 'logo perniagaan’ yang sah di sisi undang-undang dan moral iaitu saya adalah seorang profesor sebuah universiti paling terkemuka di Malaysia iaitu UM.

Apa saja kejayaan yang dicapai universiti itu termasuk ranking dapat saya nikmati sama. Kerana ibarat sebuah pelampung, saya akan sentiasa naik ke atas apabila air di bawah saya menjadi bertambah tinggi. Sebaliknya, apa saja kemunduran yang dialami universiti tersebut, saya tidak akan dicerca akibat daripadanya kerana ia bukan sesekali akibat daripada kelemahan diri saya. Malah, sebagai sebuah pelampung, saya tetap berada di atas juga meski ke bawah mana sekalipun surutnya air di bawah.

Cuma yang saya risaukan adalah sebanyak mana manfaat atau faedah diperoleh universiti berkenaan hasil daripada pelantikan orang seperti saya sebagai Profesor Emeritus. Jika dikira berapa ramai Profesor Emeritus yang telah dilantik atau dianugerah oleh UM sehingga hari ini dan yang bakal dilantik, tentu sekali kenyataannya lebih menimbulkan tanda tanya yang lebih parah.

Saya tidak fikir semua Emeritus itu tidak bersedia untuk memberi khidmat kepada universiti yang pernah menjadi kebanggaan masing-masing sebelum ini. Cuma salahnya kerana universiti yang melantik mereka itu tidak cukup smart mengurus pentadbiran.

Mereka gagal membezakan antara barang buruk dan barang antik. Dalam istilah lebih ilmiah, mereka terjebak dalam kepompong pemikiran kuantitatif dan tidak banyak terdedah kepada pemikiran kualitatif. Sebabnya, kata sesetengah orang, mereka dikepung oleh naratif yang diwahyukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

Kenyataan ini juga boleh menjawab sekali gus, walaupun dalam dimensi berbeza, permasalahan yang ditimbulkan Utusan Malaysia pada hari dan tarikh yang sama dan follow-up pada hari berikutnya di bawah tajuk 'Pelantikan profesor di universiti ada jalan pintas’.

Teringat saya kepada kes yang berlaku dalam bidang perbankan. Dalam sesi perbincangan beberapa tahun yang berturut-turut, pihak Bank Negara terus menerus mempertikaikan barisan kepimpinan sebuah bank yang sangat tinggi prestasinya.

Alasannya, kerana mereka terdiri daripada pemimpin yang tua-tua belaka. Sebagai jawapan kepada kritikan tersebut, pihak bank sentiasa menjawab: “Barisan tua inilah yang sentiasa mempertahankan tradisi bank berkenaan sehingga terus berprestasi tinggi sampai sekarang.”

Oleh sebab pada akhirnya Bank Negara terpaksa melaksanakan juga dasar atau pelan warisannya (succession plan), maka pihak bank telah melantik pengerusi asalnya sebagai 'Pengerusi Emeritus’ (Emeritus Chairman) agar prestasi bank tersebut tidak menurun dan pihak yang berkepentingan tidak lari.

Bezanya dengan universiti di Malaysia, Pengerusi Emeritus tidak disangkut di dinding seperti foto hiasan tetapi terus menjadi pemimpin de-facto yang sangat dihormati dan dirujuk dalam segala hal dasar. Kedudukannya sama seperti 'Menteri Kanan’ dalam Kabinet Singapura.

Meskipun di bawahnya terdapat ramai Pengerusi Lembaga Pengarah tetapi fungsi mereka lebih bersifat pemimpin de-juri yang tertakluk dalam hal paling dasar kepada nasihat pengurusi de-facto di atas. Hasilnya, sampai hari ini bank tersebut tetap berada di tempat teratas dan dihormati oleh komuniti perbankan sama ada tempatan atau luar negara.

Bagaimanapun, saya tidak bermaksud agar Profesor Emeritus di negara ini dijadikan seperti itu, cuma jangan pula sampai jadi melukut di tepi gantang di universiti masing-masing. Dimasukkan tidak menambah, dikeluarkan pun tidak mengurang sukatan.

Sebanyak mana manfaat atau faedah diperoleh universiti berkenaan hasil daripada pelantikan orang seperti saya sebagai Prof Emeritus.

* Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid ialah Profesor Emeritus di Universiti Malaya