Sentiasa berbuat baik dengan jiran tetangga

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PADA zaman nenek moyang kita dahulu, keseronokan dan keindahan hidup berjiran menjadi satu perkara yang sangat penting. Mereka hidup aman damai tanpa pergaduhan.

Boleh dikatakan kemesraan antara jiran tetangga amat erat. Jika ada kenduri atau kematian, pasti berduyun-duyun orang kampung akan hadir.

Namun, pada zaman milenia ini, adab dan kemesraan dalam berjiran tidak sama seperti dahulu, malah kian pudar dan bertukar 100 peratus.

Mungkin sekarang ini konsep berjiran sudah tidak membawa sebarang makna atau sudah ketinggalan zaman.

Semangat hidup berjiran yang kita warisi sejak turun temurun, kini jelas semakin terpinggir.

Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya perubahan gaya hidup masyarakat yang terlalu sibuk dengan hal sendiri serta sibuk mencari rezeki masing-masing.

Kerana kesibukan juga menyebabkan masyarakat tiada masa untuk berbual atau saling tegur menegur antara satu sama lain.

Malah ada yang tidak kenal dengan jiran sebelah walaupun sudah tinggal di kawasan perumahan yang sama sejak 10 tahun!

Artikel Berkaitan:

Islam sangat mementingkan hubungan persaudaraan dan sentiasa menganjurkan umatnya untuk sentiasa hidup bersatu-padu bagi mengelakkan perselisihan.

Kita hidup di dunia ini saling memerlukan di antara satu sama lain dan tiada siapa boleh hidup bersendirian. Jiran bukan sahaja merujuk kepada orang yang tinggal berdekatan dengan rumah atau tinggal setempat tetapi juga rakan sekerja di meja sebelah.

Seorang pendakwah, Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da‘i Fuad berkata, mengikut ulama, terdapat tiga elemen yang perlu kita ketahui mengenai adab hidup berjiran.

Pertama, jangan sesekali menyakiti hati jiran.

Kedua, bersabar apabila disakiti dan ketiga, menghormati dan berbuat baiklah dengan jiran.

Jelas Da‘i Fuad lagi, seandainya kita memiliki jiran yang menguji kesabaran dan menyakiti kita, beliau menyarankan agar kita tetap menunjukkan perwatakan dan keperibadian yang baik.

“Namun jika mereka (jiran) telah melampaui batas dan melibatkan hal-hal keselamatan setelah melakukan perbincangan, maka lanjutkanlah kepada pihak berkuasa,” kata Da’i Fuad lagi.

Untuk berbuat baik kepada jiran, masing-masing ada kemampuan tersendiri.

Tanggungjawab itu juga boleh dilaksanakan melalui pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat secara zahir seperti saling bertukar-tukar juadah makanan, menghulur bantuan kewangan jika dalam kesusahan, ziarah-menziarahi, bertanya khabar, tolong-menolong dan bergotong-royong jika ada sesuatu majlis keraian dan sebagainya.

Dalam konteks menjaga hubungan silaturahim sesama jiran, janganlah sekali-kali menyakiti hati jiran dan ahli keluarga mereka, sama ada dengan perkataan, perbuatan mahupun tingkah laku yang boleh menyinggung perasaan mereka.

Buat baik

Bagi menjaga ketenteraman dan keharmonian hidup berjiran, kita hendaklah peka dan mengamalkan sikap bertolak-ansur.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada ALLAH dan hari akhir (kiamat), hendaknya tidak menyakiti jiran tetangganya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tidak salah sekiranya kita berbuat baik semasa jiran tetangga kerana ia bukan sahaja mengeratkan hubungan, malah diberi pahala oleh ALLAH SWT.

Sekiranya berdepan sebarang masalah antara jiran tetangga, berbincanglah dan jangan bertindak mengikut hawa nafsu tanpa pemikiran yang waras dan terlalu mementingkan diri sendiri kerana kelak diri sendiri akan merana.

Hal remeh-temeh tidak perlu diperbesar-besarkan sehingga melancarkan ‘perang’ terutama dengan jiran sebelah rumah.

Bukan itu sahaja, jaga tingkah laku dan tutur kata apabila bercakap dan bertindak. Tidak perlu bertindak mengikut nafsu ketika marah.

Fikir sebelum bertindak kerana natijahnya diri sendiri yang akan menanggung akibatnya.

* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian