Formula Majlis Olimpik Malaysia

Mohamad Norza Zakaria
Mohamad Norza Zakaria
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) sedang merangka formula bagi membolehkan atlet negara yang menjalani latihan di dalam mahupun di luar negara sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kejohanan antarabangsa menerima suntikan vaksin Covid-19.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan berbincang dan mencari jalan terbaik dengan pihak yang berkenaan termasuk kedutaan Malaysia di luar negara untuk memastikan atlet mendapat suntikan vaksin tersebut.

“Pertama saya ingin nyatakan bahawa kita semua sedia maklum mengenai pendirian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan MOM bahawa tidak ada siapa (atlet) dipaksa menerima suntikan vaksin.

“Proses penerimaan vaksin oleh atlet kita di luar negara ini mungkin daripada negara yang mereka berada. Ini kerana kita tidak mahu mengganggu konsentrasi dan persiapan mereka untuk pulang ke Malaysia mengambil suntikan vaksin.

“Buat masa ini, MOM sedang meneliti tentang perkara itu. MOM juga telah memulakan perbincangan dengan beberapa pihak berwajib dan Institut Sukan Negara (ISN) telah diberikan tanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar senarai nama 4,000 atlet dan pegawai yang akan mewakili negara ke peringkat antarabangsa untuk diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19.

Beliau memberitahu, senarai nama itu telah dihantar sendiri kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Mengulas perkara tersebut, Mohamad Norza berkata, nama atlet dan pegawai yang diserahkan kepada KBS itu diputuskan oleh jawatankuasa kerja yang diwujudkan MOM.

Artikel Berkaitan:

“Pada minggu ini saya ada mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi berbincang mengenai mereka (atlet) yang telah dikenal pasti untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Ia lebih menjurus kepada usaha mendidik mereka tentang jenis vaksin yang akan diambil dan jenis-jenis yang telah ditempah oleh Malaysia. Umumnya, ia lebih kepada memberi bimbingan kepada penerima vaksin Covid-19 ini,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, MOM berterima kasih kepada KBS atas keprihatinan menghantar nama atlet khususnya mereka yang terlibat dengan temasya Olimpik 2020 kepada MOSTI.

“Ini merupakan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan atlet di Malaysia dan secara tidak langsung meletakkan atlet sebagai duta atau barisan hadapan,” jelasnya.