PKBM 'cari jalan' suntikan vaksin duo negara

Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus kini berada di Melbourne.
Azizulhasni (kiri) dan Shah Firdaus kini berada di Melbourne.
A
A
A

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan berbincang dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung proses penerimaan vaksin Covid-19 kepada dua pelumba negara, Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, PKBM perlu mendapatkan mendapatkan input daripada KBS dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terlebih dahulu sebelum membuat tindakan seterusnya.

“Setakat ini belum ada apa-apa makluman yang kami terima daripada KBS mahupun MOM berhubung penerimaan vaksin buat Azizulhasni dan Shah Firdaus yang kini berada di Melbourne, Australia.

“Sudah tentu kami cukup mengamati betul-betul setiap makluman yang dikeluarkan Menteri (Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican).

“Jadi itu sebabnya kami harus dapat penjelasan lanjut mengenai cara (pengambilan) vaksin itu. Saya akan tanya KBS Isnin nanti (hari ini) kerana mesejnya masih belum jelas,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Abu Samah turut berharap segala proses berkaitan suntikan vaksin itu 'dipermudahkan' memandangkan Azizulhasni dan Shah Firdaus telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

“Kalau diikutkan memang mereka berdua termasuk dalam kategori atlet yang disebutkan KBS, tetapi dalam keadaan sekarang, situasi mereka di luar negara, tak tahu bagaimana.

“Jadi sebaiknya saya perlu mendapatkan makluman daripada pihak yang berkaitan. Yang penting, Azizulhasni dan Shah Firdaus fokus dengan latihan mereka di Melbourne,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: