X

Kindly register in order to view this article
!

Dua warga Indonesia ditahan seludup PATI

Anuar Othman
A
A

PARIT BUNTAR - Dua lelaki warga Indonesia yang bertindak sebagai ‘orang tengah’ membawa keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini ditahan polis di perairan Pantai Kuala Kurau, di sini pada Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 43 tahun ditahan menerusi Op Pintas /Benteng.

“Bertindak atas maklumat penyeludupan migran, kira-kira jam 6 petang pasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan anggota Marin Wilayah 1 bergerak menaiki bot ke kawasan tersebut dan berjaya menahan kedua-dua suspek selepas membuat pemerhatian kira-kira 45 minit.

“Polis merampas bot yang mengandungi 10 tong dan tangki besar, sebuah magnetik kompas, sebuah telefon bimbit dan wang tunai keseluruhan RM4,362,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurutnya, siasatan awal dijalankan mendapati suspek berusia 32 tahun bekerja sebagai tekong bot untuk mengangkut migran warganegara Indonesia.

“Suspek mengaku telah menghantar 25 warganegara itu menggunakan bot milik lelaki dipanggil ‘Wan’ pada awal Disember lalu dan penumpang naik melalui sebuah gudang penyimpanan bot di Juru, Pulau Pinang.

“Suspek mengenakan bayaran sebanyak RM1,200 untuk setiap penumpang untuk perjalanan ke Acheh, Indonesia,” katanya.

Anuar berkata, suspek dipercayai aktif dalam kegiatan penyeludupan migran warganegara Indonesia sejak Mei 2019.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Suspek direman selama 14 hari di lokap Balai Polis Bagan Serai untuk disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!